Monday 2 July 2007

optimistik

Jendela Hikmah:
Oleh Rosnah Ahmad

SEORANG insan yang bertaubat daripada keterlanjuran mempunyai rasa harga diri sangat rendah membawa kepada putus asa, malah ada membunuh diri. Kesakitan fizikal, seksaan mental dan deraan emosi memang tidak tertanggung. Pandangan negatif yang menghina penuh celaan daripada masyarakat keliling memang tidak dapat dielakkan.

Itu hanya seksaan dan balasan di dunia. Untuk menghadapi cabaran dahsyat ini, selain mendekatkan diri kepada Allah kita perlu bina kekuatan dalaman. Proses membersih diri adalah tazkirah yang perit daripada Allah. Perkara itu lebih dirasai apabila seseorang wanita itu mengandung dan melahirkan anak tanpa mempunyai suami sah.

Kesan peristiwa ini sangat mendalam dalam diri mereka, malah menghantui kehidupan mereka sehingga akhir hayat. Mereka ini tiada pilihan kecuali bertaubat nasuha, reda menerima ujian Allah dan cuba melawan perasaan berdosa, hina dan memperkasa diri.

Memperkasa diri melawan perasaan hina diri memerlukan seseorang mengubah gaya hidup, menukar cara bersosial, mencari rakan baru yang salih dan paling penting berfikiran positif. Perkara yang sukar dilakukan pada awalnya boleh membuahkan hasil menakjubkan.

Seseorang itu akan rasa lebih tenteram, sihat mental, bertenaga dan positif menjalani kehidupan. Sentiasa beristighfar (memohon ampun) kepada Allah dan sentiasa memperbaharui niat untuk melakukan amalan salih dan tidak mengulangi perbuatan terkutuk itu lagi.

Anak kunci kepada kejayaan adalah terus melakukan perubahan positif dan ia bermula dengan mengenali diri. Cabaran untuk mengenal diri bermula dengan memahami dan menerima diri kita. Ia bukan bermaksud kita tidak boleh memperbaiki diri. Jika kita fikir tidak cukup baik, kita mesti belajar bekerja lebih kuat, berubah menjadi lebih baik dan memperbaiki diri .

Sering kali kita mencari faktor luaran dan percaya bahawa kita kekurangan kasih sayang, ilmu, kejayaan dan kepuasan. Jarang sekali kita mengaku secara sedar bahawa tenaga atau kuasa hebat itu berada dalam diri kita. Cabaran kita sebagai manusia adalah untuk sedar apa yang sekarang ini berada di bawah sedar.

Setiap insan dilahirkan dengan pelbagai potensi berjaya seperti firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami mencipta insan dalam bentuk penciptaan yang terbaik.” (Surah At-Tin, ayat 4)

Kita dilahirkan dengan anugerah, kebolehan, kekuatan dan keperibadian tersendiri yang menjadikan kita unik dan berbeza daripada orang lain. Sepanjang kehidupan, kita juga memperoleh pelbagai kemahiran dan ilmu yang membolehkan kita menjalani kehidupan dengan cara tersendiri. Kebanyakan kita bersikap agak tertutup untuk mengenali kekuatan dan cara kita yang tersendiri.

Bila kita mengenali diri, kita akan kurang terikat kepada diri dan keunikan akan terserlah. Kita juga akan menjalani hidup dengan menggunakan potensi diri secara optimum. Nur hidayah Allah sentiasa menerangi seluruh alam dan hambanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah misykaat yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam gelok kaca, gelok kaca itu laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak daripada pokok yang banyak manfaatnya; (iaitu) pokok zaitun yang bukan saja disinari matahari semasa naiknya dan bukan saja semasa turunnya; hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinar nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda): cahaya berlapis cahaya, Allah memimpin sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang dan peraturannya) kepada nur hidayahnya itu; dan Allah mengemukakan pelbagai contoh perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah An- Nur, ayat 35)

Penghalang kepada perubahan dan kemajuan diri adalah kita sendiri. Oleh itu, antara rahsia kejayaan diri adalah berdoa, berzikir, bersembahyang, bertafakur, melakukan muhasabah diri dan menggilap hati. Ia bagi memastikan nur hidayah Allah dapat menembusi diri kita dan tidak terhalang oleh hati gelap.

Apapun, kita sering kecundang dalam usaha menyerlahkan potensi kerana masalah dan cabaran.
Daripada perspektif spiritual, masalah dan cabaran bukanlah ancaman, tetapi ia membuka ruang untuk kita memahami dan menerima kenyataan mengenai diri.

Dengan berbekalkan kesedaran, kesungguhan, keikhlasan, sikap terbuka dan tawakal yang tinggi kita dapat memenuhi antara ciri masyarakat bertamadun iaitu memperkasakan diri.

-Penulis ialah aktivis wanita JIM dan pengusaha Tadika Islam, e-mel: wanitajim0@yahoo.com.

sumber: http://nurjeehan.wordpress.com/2007/06/29/mengaku-secara-sedar-kehebatan-diri-kunci-kejayaan/


aku amek artikel ni dr blog nurjeehan. terima kasih nurjeehan!

aku perasan satu benda. dalam majlis2 ilmu masyarakat kita, selalu ditekankan aspek2 muhasabah, perbaiki kelemahan, refleksi dosa dan pahala, 'kita kena sedar kesalahan kita' etc. etc.

betul. betul sangat. tapi imbalan tu harus adil. adil bermaksud dalam kita refleksi diri, usah sampai menyekat dan terikat kepada 'diri kita yang hina' sampai potensi tu digelapkan, keunikan tu tak dapat terserlah, kebaikan tu disembunyikan, kebolehan diri dilupakan. akal asyik fikir lemah, salah, dosa sampai lupa- rahmat Allah tu tak pernah limited pada sesiapa pun. magik Allah tu boleh berlaku, yg penting kita kena percaya, Allah maha pengasih lagi maha penyayang. biar buruk macam mana pun orang lain pandang kita, sehina mana pun kita dilabel masyarakat, tp selagi kita yakin dengan kerahiman Allah, insyaAllah, tak mustahil satu hari kita akan jadi hebat, malah boleh menyumbang pula untuk orang lain.

mak aku cakap, kenal diri sendiri supaya kita tahu macam mana nak deal dengan orang lain. ramai antara kita tahu kelemahan dia 'sekian' dan 'sekian' tapi dia rasa berat untuk mengakuinya. maksud mengakui kat sini bukan buat announcement untuk beritahu semua orang, cukuplah acknowledge dalam diri kita sendiri. Allah juga tak bagi kita revealkan keburukan kita pada orang lain. (rujuk AQ Allah ada cakap pasal ni, insyaAllah ada masa aku update ok?) bila kita taknak mengakui kelemahan kita, akan muncul konflik dalam diri. bila timbul konflik, akal akan haru biru dan perasaan akan berterabur dan kacau-bilau. tambah-tambah lagi bila ada ustaz atau ustazah yang sebut tentang kelemahan kita dalam ceramah diorang, lagilah terasa. tak salah punya kelemahan, semua orang termasuk ustaz dan ustazah pun tak dapat lari dari kelemahan. sama jugak dengan tabiat buruk, keburukan dan masa lampau yang tragis atau mengecewakan. yakinlah, semua yang berlaku tu dengan izin Allah, dan tak ada yang Allah jadikan tu sia-sia. mesti ada hikmah di sebaliknya. mak aku cakap lagi, apa-apa pun yang berlaku walaupun kita tak menyukainya, fikirkan secara positif. positif, positif, positif. bukan negatif. kalau ada orang yang buatkan kita asyik berfikir negatif tentang diri kita, kalau tanya aku yang lemah dan hina dina ini, aku akan cakap jauhi orang tu. sebab kita kena protect diri kita dari asyik asyik terasa hina dan macam sampah. selagi kita tak dapat keluarkan diri kita dari kepompong kenegatifan dan elak dari rasa terikat dengan syaitan dalam diri, sampai bila pun masalah takkan selesai. mengakulah, ya, aku memang jahat dan hina dina, tapi itu tak bermaksud aku akan putus asa dengan Allah, sebab Allah tu maha pengasih lagi maha penyayang, Dia tak pernah berlaku zalim pada hamba-hambaNya. kemudian fikir perlahan-lahan dan secara rilek-rilek, macam mana nak overcome kesalahan tu. (fikir dengan wajah senyum, bukan muka berkerut-kerut wokey!)

sedar tak sedar, bila kita fokus pada kelebihan diri, secara indirectly kita akan overcome sikit demi sikit kelemahan kita. kita akan lebih terikat dengan kasih sayang dan rahmat Allah, Allah izinkan kita jadi lebih kuat dari hari ke hari, makanya nak membuang yang tak baik itu jadi makin mudah. sama macam sakit kepala, usah fikir betapa sakitnya headache tu (=betapa teruknya kesalahan tu), tapi fikirkan untuk bertahan dan bertahan (=acknowledge kesakitan, sabar dan fikir positif yang masalah akan selesai), di samping tu bertawassul dengan cara makan ubat (=korek potensi diri, cari cara untuk jadi kuat, percaya dan yakin dengan Allah, overcome keburukan sedikit demi sedikit) dan kalau belum sihat jugak dari sakit kepala tu, rujuklah pada doktor (= teruskan usaha, slowly but surely).

keywordnya- seimbang dan adil.

dan Allah lebih mengetahui. ya Allah, ilhamkanlah kami yang terbaik. ameen...

No comments: