Friday 31 October 2008

seberat-berat perasaan, seringan-ringan fikiran~

semalam pada waktu begini aku tenggelam lemas dalam lapisan-lapisan kertas nota peperiksaan, sambil cuba menyedut dan meneguk setiap perkataan-perkataan yang larut di dalamnya. sedikit-sedikit dicumbu angin malam yang menggoda namun tak dapat menghembus lalu resah-gelisah aku.

dan pastinya ia akan berulang; tanpa sebarang perasaan aku memikirkannya.

berjalan balik dari perhentian bas sambil memandang ke atas, aku perasan sejak pagi yang hari ini awan nampak lebih rendah dari biasa. gelap di bawahnya, memberat dan sarat dengan segala yang disimpan, sambil bergerak perlahan-lahan sehingga aku sendiri takkan perasan kecuali aku hentikan mataku dan ambil masa untuk merenung dengan mulut kumat-kamit tanpa sebab. ahh, seperti beratnya perasaanku.

kadang-kadang dalam tempoh yang singkat masa tetap kurasakan berjalan dengan sangat lambat.

daun-daun pokok hijau berbunga merah yang tinggi lampai meliuk-liuk ditiup angin yang bertiup lebih laju dari gerakan awan. sedikit pun daunan itu tak risau mengikut alur angin. bebas dan tak malu dilihat menari sebegitu. seperti sesetengah laguku yang apabila mendengarnya; betapa gembiranya dapat menterjemahkan perasaan berat ini dengan sedikit gerakan nakal dan senyuman, walaupun, iya, ia takkan dapat menghilangkan semua rindu itu, tetap meringankan fikiranku. maka mungkin saja aku memerlukannya.

bagi seorang manja sepertiku kedegilan yang terdidik sejak kecil adalah suatu yang sukar untuk diseimbangkan. dan kebanyakan waktu, kedegilan itu akan menang. kerana itu lagu-lagu takkan dapat menenangkan resah ini. aku bukan tak bersyukur, Tuhan. aku cuma masih marahkan diriku. tapi Kau, bagai kaki lumpuh didayung, tulang patah dipapah, Kau layankan juga manja ini. Tuhanku yang maha penyayang ini.

dan mereka pula berkata Kau adalah sekali-sekala ataupun jarang sekali. dalam maluku mengaku Kau segalaku.

p/s: selamat menyambut hari jumaat ;)

Wednesday 29 October 2008

pulang~

"Ok. Pakcik sampai sebelum jam 6pm on 1911 wed.
See u there. Welcome Back to Malaysia. We all miss u."

Ni antara ayat paling romantik tahun ini.
Emm, di kalangan ayat-ayat lain.
Hehe.

21 hari kirabawah.

(Lompat hoo-hoo-hurayy)

Tuesday 28 October 2008

peperangan

entah bagaimana dia boleh tersadai di situ dengan beberapa kawan lain. kata mereka dia antara budak-budak terpilih untuk ke kem anjuran sekolah. mereka dihantar ke suatu padang berumput luas yang dibarisi pokok-pokok renek merimbun dan terus ditinggalkan di situ tanpa sebarang petunjuk. ketika mereka masih hilang arah, tiba-tiba seseorang dengan senapang di bahunya berlari menuju mereka dengan pantas tanpa mereka sempat elak. tangannya segera menerjah mereka di kepala sampai mereka tertiarap. kaget dan cemas.

'apa kamu semua buat di sini?!' bentaknya. mereka kebingungan. das-das tembakan kedengaran di udara. tersasar dan senyap; lalu berdentum lagi.

'kamu, seorang-seorang bangun dan berlari ke rimbun renek sana. pakcik kira sampai tiga, kemudian kamu lari. 1, 2, 3!' lelaki tadi tiba-tiba memberi arahan. dengan ketakutan yang amat sangat mereka bangun separuh tunduk sambil berlari sepantas mungkin, berdoa agar tembakan itu tak mengena pada mereka. kelihatan beberapa lelaki bertubuh sasa dan tidak berbaju, dengan arang disapu di badan mereka dan senapang dengan peluru-peluru besar menutup hampir separuh badan mereka. semuanya memegang senapang. ada juga yang berbaju lengkap berwarna biru gelap dan bersenapang juga.

sampai di rimbunan pokok renek yang berbaris dan kelihatan lebih hijau dari rumput-rumput di sekelilingnya itu, mereka berhenti dan berkumpul. suatu suara pun tidak kedengaran. wajah masing-masing hairan dan terkejut; kem sekolah apa ini?

tiba-tiba sebuah helikopter mendarat berdekatan dengan mereka lalu menyuruh mereka masuk. mereka segera berlari menuju helikopter itu namun apabila mereka masuk, wajah-wajah askar di dalam helikopter itu terlalu asing. tiada askar melayu, hanya orang-orang inggeris.

'we are sending you to the cubicle. before that, you will eat', kata seorang askar perempuan berambut blonde. sedikit penjelasan pun tidak diberikan. mereka bertambah hairan, tidak tahu sama ada mereka sudah diselamatkan atau tidak. mereka tidak dibunuh, tetapi dihantar ke tempat lain? mahu melawan mereka tidak mampu kerana mereka tiada senjata. semuanya mati akal; seorang kawan mereka yang dari tadi seperti kelaparan menghela nafas lega setelah mendengar perkataan 'eat'.

mereka diturunkan di suatu tanah lapang dan selepas diturunkan, helikopter itu berlalu pergi. di sana mereka lihat beberapa budak berkulit hitam yang hampir botak; berbibir tebal, bermata bulat, berkepala besar dan agak kurus sedang beratur mengambil makanan. terdetik di hatinya, 'ini kem pelarian kah?'

mereka perlahan-lahan mendekati tempat itu dan melihat apa yang dihidangkan. kentang goreng, 'baked beans' dalam sos tomato dan daging khinzir. 'pasti dia tak makan,' bisiknya bila teringatkan seorang dari kawan mereka yang dikenalinya sebagai sangat menjaga agama. namun mereka semua harus beratur; kelihatan makcik-makcik sedikit garang berbadan gempal dan memakai 'key' di kepala menyendukkan makanan ke dalam pinggan masing-masing.

'only the fries, please,' dia meminta. makcik itu memandangnya sedikit tajam kemudian menyendukkannya kentang goreng tadi ke dalam pinggannya. dia sedikit lega lalu bergerak ke meja dengan stail ala jepun, bersama dengan seorang kawannya yang menjaga agama tadi. kawannya itu lelaki.

'aku ingat kau tak makan. kau lapar ya?' dia menegur kawannya itu. kawannya mengangguk sambil melihat pada kentang goreng dan 'baked beans' dalam pinggannya. 'boleh tambah tak? err..kalau kau tak nak bagi lah pada aku,' katanya. kemudian dia makan dengan agak lahap. kasihankan kawannya, dia memandang sekeliling sambil mencari-cari. budak-budak hitam tadi sedang bermain-main, suara mereka agak riuh rendah dalam bahasa yang tak dapat dia fahami. di pondok kecil itu ada sedikit tangga menuju ke pangkin kayu yang lebih tinggi dan agak tersorok. dia berjalan perlahan-lahan ke dalam kawasan kecil itu dan dapat melihat susunan pinggan mangkuk serta besen air sabun. 'ah, mungkin di sini tempat mereka membasuh pinggan mangkuk', bisiknya.

dalam satu periuk lain, dia ternampak sup ayam yang masih hangat, kemudian ada juga nasi yang separuh lembik, sudah jadi seperti bubur lagaknya. belum sempat dia menjelajah lebih jauh, kedengaran seorang kawannya separuh menjerit, 'eh kita boleh tambah kalau kita mauuu..!' katanya. dia berpaling sebentar dan mendengar, sebelum melibas-libas membersihkan punggungnya lalu bangun dan separuh berlari mendapatkan kawan-kawannya. maka kawan-kawannya yang masih kelaparan segera membawa pinggan masing-masing ke tempat mengambil makanan tadi. hairan; selepas tambah mereka masih lapar, malah kelihatan semakin kurus, termasuk seorang kawannya yang sangat beragama tadi. wajahnya yang cerah dan kacak sekarang nampak lebih cengkung dan lemah.

tiba-tiba helikopter tadi datang semula untuk mengambil mereka. mereka tahu, mereka akan dihantar ke 'the cubicle'. tapi mereka sendiri tidak ada idea langsung dengan apa maksudnya 'the cubicle' itu.

sehinggalah mereka dibawa ke sebuah bilik putih, dengan katil dua tingkat lengkap dengan tilam dan bantal bercadar biru. mereka semua ditempatkan di situ bersama-sama, tidak boleh keluar ke mana-mana melainkan diizinkan. mereka dalam keadaan terpaksa; mengikut arahan atau mungkin mati. di situ mereka dikunci dan ditinggalkan.

setelah beberapa waktu berlalu, masing-masing sudah buntu dan separuh gila, cuba berfikir tentang apa sebenarnya yang sudah jadi kepada mereka. siapa mahu dipercaya, apa mereka boleh lakukan, adakah mereka sebenarnya dalam perang? kemudian, pintu dibuka dan mereka dibawa ke sebuah bar, di mana askar-askar sedang minum-minum sambil bersuka-ria bersama perempuan. mereka disambut dengan mesra oleh askar-askar di situ yang mengajak mereka minum. mereka tolak lalu kemudiannya dibawa semula ke bilik putih tadi. tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kedatangan beberapa perempuan seksi dengan bentuk tubuh menggiurkan dan tidak kelihatan sedikit pun seperti tahanan. kemudian bilik dikunci semula. perempuan-perempuan itu masuk, terus ke katil dan mengajak mereka masing-masing bersembang. dia bingung; sedikit-sedikit matanya tertumpu pada kawan-kawannya yang lelaki. sudah cukup mereka yang perempuan dikuncikan bersama kawan-kawan mereka yang lelaki, sekarang ini perempuan-perempuan seksi pula?

*****

'bayangkanlah apa yang mungkin jadi. taktik orang kafir ini..' aku menutup buku itu kemudian beralih kepada sebuah buku lain. buku yang ini menceritakan zaman pemerintahan seorang pemimpin islam. lebih tepat lagi, buku ini memberitahu selok-belok pentadbiran dan pelaksanaan undang-undang terhadap masyarakat islam tika itu. aku membacanya dengan pantas sambil berasa lega dan puas hati; pentadbiran seperti yang dicatatkan dalam buku ini boleh aku kagumi. sehinggakan kejadian rumah perdana menteri separuhnya dibom orang kafir juga sangat sedikit rakyat yang mengetahuinya.

'buku ini patut jadi buku teks agama sekolah menengah. ini lebih baik daripada asyik mengulang perkara asas tapi tak mengaitkannya dengan signifikan dan konteks yang lebih besar', aku berkata sambil memandang kawan serumah aku. dia mengangguk mengiyakan kata-kataku tetapi sedang memandang ke luar. aku bangun dari katil lalu bergerak kepadanya, sama-sama memandang ke luar tingkap. terdengar deruan ombak laut dan aku terkejut besar melihat seekor makhluk yang sangat besar- bentuknya seperti ikan tetapi punya tangan dan kaki seperti katak, punya ekor dan mulut yang sangat besar dengan gigi-gigi tajam seperti buaya yang sangat mengerikan. seluruh badannya berwarna cokelat gelap dan bergaris-garis hitam dengan mata bulat yang ganas. kemudian aku lihat kawanku itu mengambil tali seakan-akan dawai hitam, mencampakkannya ke arah haiwan itu sehingga cangkuk di hujung dawai itu tersangkut di dalam mulutnya yang sebentar terbuka sebentar tertutup dan kemudian mengikat sebelah hujung lagi dawai itu pada tiang-tiang kayu rumah kami.

'apa akak buat ni?!' aku separuh teriak. 'tiang tu takkan tahan, binatang tu besar, nanti dia pasti akan robohkan rumah ni dengan senang!' aku menyambung. haiwan itu semakin mengganas dan mula berlepar-lepar dalam air laut.

'presiden telefon tadi, ni arahannya.' kata kawan serumah aku itu. aku kaget; haiwan itu kemudian dengan beberapa kali hentap menarik dawai-dawai itu sehingga merobohkan tiang-tiang. haiwan itu mula bergerak mendekati kami, lalu entah bagaimana kawanku itu menarik dawai-dawai tadi dengan tangannya dan membaling haiwan itu ke udara, sampai ke awan. haiwan itu berhenti bergerak; mungkin sudah mati, dan kami dapat melihat dengan jelas tulang-tulangnya yang legap kerana kulitnya lutcahaya, sambil disimbah cahaya bulan. aku dan kawanku itu bergerak pantas ke luar rumah, apabila tiba-tiba presiden datang dengan pembantu-pembantunya dengan wajah tanpa perasaan.

'you are stupid', segera aku katakan padanya, dan tak semena-mena dia juga mengaku. akal apakah tak mampu membezakan antara kekuatan tiang rumah yang kurus dengan haiwan gergasi sebesar itu? 'you are stupid', lagi aku memarahinya tanpa peduli lagi akan posisi dan taraf.

tiba-tiba kedengaran suara pembantunya menjerit dari pantai, menyuruh semua orang lari. aku terkejut; apa pula ini? aku menoleh ke arah laut dan ternampak beberapa kapal besar dengan garis biru dan putih serta muncung hadapan yang tajam menuju ke arah pantai. 'australia diserang filipina', aku diberitahu.

maka kami lari sepantas mungkin menjauhi pantai. ketika sedang berlari aku terserempak dengan saudara-mara dan kawan-kawanku yang lain lalu kami bersaing sehingga sampai ke suatu bukit. di sana-sana ramai budak-budak kecil dikumpulkan dan kami sebagai orang perempuan diarahkan membawa budak-budak kecil itu ke kawasan selamat di atas bukit yang dipenuhi hutan rimba. ironinya, mereka semuanya melayu. seorang kawan aku yang lelaki teringatkan kawannya yang akan datang ke australia dalam masa beberapa hari, lalu berkata mahu menyelamatkan kawannya itu nanti. beberapa makcik mendengar kata-katanya lalu, setelah ditanya banyak kali akhirnya setuju membenarkan kawan aku itu menawarkan diri menjadi askar pembantu. aku melihatnya dengan pandangan sayu, mungkin aku tak akan berjumpanya lagi selepas ini. tapi kemudian aku kuatkan semangat dan meyakinkan diri sendiri yang semuanya akan selamat.

lantas kami yang tinggal berlari ke pondok yang dimaksudkan sambil aku melihat-lihat ke belakang sambil berfikir apa sedang berlaku di kawasan pantai. kedengaran bunyi bom dilontar dan suara manusia yang riuh rendah, masing-masing dalam keadaan terkejut. pondok itu agak kecil dan untuk memasukinya ada tangga, di bawahnya ada kawasan kolah tertutup untuk mandi. budak-budak berkumpul di kawasan kolah kerana kami beritahu kami harus membersihkan dan menyediakan pondok itu dahulu sebelum semua boleh mendudukinya. beberapa orang lain mula mengisi botol-botol air untuk bekalan minum dan memberikannya pada kami, sebelum kami menyusunnya dalam pondok itu. budak-budak yang tidak tahu apa-apa riuh-rendah dalam haru-biru, aku mengarahkan agar seseorang menyuruh mereka diam.

'eh kau balik 19 november ni kan?' seorang saudaraku bertanya.
'aah. tak apa mungkin sempat.' aku menjawab.
'19 november dah dekat. sempat ke perang habis sebelum tu? tak mau mesej mama kau?' dia menyoal lagi. aku serba-salah.

*****

kemudian aku bangun dari tidur. aku mimpi pasal peperangan rupanya. dah banyak aku berlari-lari dalam mimpi tu, agaknya aku boleh cancel plan untuk exercise hari ni?

mungkin.

Sunday 26 October 2008

kurus

senyap.

diam ini sangat ketara, tak kira betapa aku sangat faham dan tahu tentang perasaannya. begitu juga dengan dia. sudah terbiasa bersama sehinggakan keduanya sangat sensitif terhadap setiap perubahan rentak kata dan perlakuan masing-masing. sambil tertanya-tanya, agaknya segala perubahan ini maksud akhirnya adakah perpisahan?

kerana kita masih muda dan menginginkan tersangat banyak. mahu lakukan sangat banyak; mahu lihat sangat banyak. dengan mimpi yang melangit kita membesar bersama-sama. namun dua manusia tetap dua manusia, takkan menjadi satu dengan sendirinya. memikirkan ini selalu membuat aku menangis; kerana setiap kali aku gusar aku teringatkan engkau dan tertanya-tanya adakah engkau faham apa yang aku rasakan. kemudian tanpa sebarang soalan kau selalu datang dan menyuruhku jangan bersedih, padahal aku fikir aku sudah cukup berlakon tenang di hadapan engkau; dengan segala kemampuan aku cuba menutup kegusaran dengan gelak tawa dan sembang picisan.

tapi kau membacaku dengan baik. kadang-kadang aku takut dengan diammu, sebab dengan diam lah kau membacaku. membacaku dengan setiap ketakutanku, kesedihanku dan kekeliruanku. sambil cuba menerka waktu-waktu ajaib bila mana aku akan seringkali gagal menolakmu, walau betapa payah aku cuba. sebab kau tau, aku sebenarnya mahukannya.

jika kau menipu aku pasti akan membencimu. dan itu juga bermaksud membenci diriku sendiri. tapi hari demi hari maksudmu makin jelas- aku antara matlamat hidupmu. tapi kau sendiri tahu aku manusia skeptikal yang tak akan percaya seluruhnya dengan sesuatu tanpa bukti. maka cinta ini, adalah suatu dugaan yang besar untuk aku. dan aku yakin ia juga dugaan besar untuk engkau. sebab walau macam mana pun aku berusaha menghilangkan kemusykilan dari dirimu, aku tetap masih musykil dengan diri sendiri.

kerana kita masih muda, dan siapa tahu apa akan jadi esok hari?

senyap.

Saturday 25 October 2008

abah dan nyang chik~

hari ni hari lahir abah. abah, selamat hari lahir :) kalau abah ada lagi umur abah dah 49 tahun. wahh, macam mana lah muka abah 49 tahun yerk. abah pergi sebelum sempat tua. mayat awet muda. meninggal hari jumaat lagi. wah, bertuahnya abah.

semalam nyang chik kat tanjung belanja meninggal juga. hari jumaat juga. tapi nyang chik mati sakit tua. abah meninggal lebih awal dari atuknya walaupun hari yang sama. dan nyang chik meninggal sehari sebelum hari lahir abah. orang baik-baik selalu ada kaitan antara mereka.

bila telefon mama, mama dah pun acik yus bagitau pasal nyang chik. aku takut tersilap orang jadi aku konfem kan dengan mama. 'aah nyang chik, yang tak berapa dengar tu, dia pernah cakap kat kita masa kita datang rumah dia beraya tu, ingat tak, dia cakap "tu la sebelum ni Allah ambil dari mata (rabun dan dia pakai spek) lepas tu Allah ambil dari telinga pula. Allah ambil sikit-sikit"'. oh ya aku ingat. dia cakap macam tu kemudian dia diam sekejap tapi bibir dia masih senyum.

nyang chik ceria orangnya. kalau datang rumah dia budak-budak cukup suka sebab dia rajin melayan apa aja kehendak budak-budak. dia layan semua orang dengan baik, tak kira saudara jauh atau biras baru. selalu ketawa dan ramah mesra dengan tetamu-tetamu yang datang ke rumahnya.

memandang nyang chik mengingatkan aku pada abah; pernah sekali masa kami beraya di rumahnya, air teh yang dihidang tu masih panas jadi abah seperti selalu akan tuangkan sedikit air teh dari cawan ke alas cawan kaca tu kemudian abah goyangkan alas cawan berisi air teh tu perlahan-lahan sampai air teh tu sejuk. kemudian baru abah bagi kami minum; abah suapkan kami air teh dari alas cawan kaca tu dengan cermat. aku selalu kagum sebab abah selalu buat begitu tapi air tehnya tak pernah tumpah. bila abah dah tak ada dan kami datang lagi ke rumah dia, aku buat perkara yang sama dan nyang chik kata 'eh tengoklah tu dia buat macam abahnya'. nyang chik ketawa kemudian dia mengeluh kecil. aku diam dan senyum-senyum kelat aja; rupanya dia masih ingat pada abah.

patut lah dua tiga hari ni aku asyik rasa ada sesuatu tak kena di kampung. entah lah; sejak ramadan tahun ni aura nya jadi makin kuat; aku dapat sense dengan lebih baik. mungkin saja sebab waktu ramadan dan syawal orang selalu meninggal sebab Allah sayang mereka dan di kalangan aku ramai orang yang baik-baik. entah, aku pun tak tau.

sedih juga tak dapat jumpa nyang chik lagi. Allah, aku tahu Kau sayang dia maka aku tak risau. aku doakan dia gembira di samping Kau sekarang ameen. oh ya, kirim salam sayang rindu teramat sangat pada abah yerk. entah bila akan berjumpa. doa abah supaya dia tak mati accident makbul, ya Allah aku pun mahu doakan yang sama juga untuk aku dan semua orang yang aku sayang dan kenal. moga Kau jauhkan kami sejauh-jauhnya dari semua yang kami tak ingini ameen.

dess. sakit perut sebab banyak sangat makan peanut butter kot. tu la, siapa suruh peanut butter tu sedap sangat. haha. takpe lah abah kata sakit tu kifarah :)

Monday 20 October 2008

kita manusia,

jadi, semuanya mesti bersungguh-sungguh dengan seimbang;

sederhana, tapi bermakna.

Wednesday 15 October 2008

jason mraz- im yours

the sky is sweet baby blue today. kids' laughter fills the air; sometimes i can hear they scream in their wild thoughts of rainbowish high-up-in-the-sky wishes, with their bare hands wide open and chins held up high with cheeky smiles on their faces. they are giving signs to the world that they aren't prudent, and that they will stroll straight into you, with innocence and abrupt clumsiness. and for the most part, they don't even care. that's how sincere they are.

my body follows the bus inertia to the right when it corners at a junction, thus i adjust my butt so that i can sit more comfortably and dont have to worry that i might lose my balance and fall. and that bothers me. from the window i take a look outside with my right hand holding my face. i can see flowers adjacent the street and all over the vast green field. and as i think of their pretty colours, i try to hold my thought to just there; and refused to go much further even though i can. humans always find ways to complicate things, and boast about them. thinking about it makes me feel like vomiting; it brings me back to those times when i dont even recall my own self.

the spoon that was clean is now has smudges of chocolate on it. i take another scoop of the coffee cake and smother them inside my mouth. mama is doing the same. 'go and see if there's something else you like. emm, its cheesecake looks good', she says, adjusting her seat and having some more scoops of the cake. i like coffee cakes; they are not too sweet, they have a tangible unmistakable scent, and they go very well with chocolate and strawberry toppings. mama enjoys hers so much too; i look at her and smile cheekily when she says 'what?' i take a napkin and pat it onto the side of her mouth, where some chocolate look so different from her fair skin. she laughs as well.

so it has been true all along. even if it's not, there's nothing i can do about it. i love you so much i dont even know how to hate you. but because you really has been loving me all along, i guess no matter how much i try i cant love you back more than you can ever love me. 'cause i'm not as brave as you. i wonder from where do you get the strength to love me- like holding a kite with a nanothin string on a windy day which pulls it even more further against the gravity. but you keep holding on and never let go- are you mad? have you lost your mind?

i guess you are like those kids. those kids who never actually care about falling and getting some little cuts. or maybe even big cuts. and with you are the times when i feel that i can be one again; a kid who always smile and has no wrinkles and sleep soundly every night.

look above, my prince- the sky is ours now : )

Thursday 9 October 2008

kelas: adaptasi kepada cuaca

mereka kata mereka dalam dilema. masalah perubahan cuaca makin teruk, ambil sahaja contoh di Barrow, Alaska ketika 2007 jadi saksi lebih kurang 6 ribut terburuk dalam masa beberapa puluh? ratus? tahun. padahal untuk beberapa tahun (seperti 1970-an) ketika pakcik-pakcik di Barrow masih kecil mereka langsung tak pernah ingat tentang apa-apa pengalaman dengan ribut yang seperti tahun 1997 merobak pantai dan menghakis pasir laut dan sehingga sebuah rumah diseret sehingga 1.8m menjauhi pantai. itu belum ambil kira cerita-cerita kaget masing-masing ketika melihat angin kuat itu merobek lantai rumah katil-katil dan menghanyutkan anak kecil, sehingga barang-barang permainan anak-anak mereka diangkut ke arus laut yang ganas. tidak, zaman kecil mereka tidak dihidang dengan cerita-cerita begitu.

dan cerita orang Barrow hanyalah picisan dari yang sedang berlaku di Eropah, di benua Artik dan sekarang kesannya sudah merebak ke zon khatulistiwa dan hemisfera selatan. orang-orang Barrow merasakan kesan perubahan cuaca lebih awal dari yang lain; iya mungkin cuaca di sana lebih sensitif dari tempat-tempat lain di Bumi, terutama kerana ais di sana cair dahulu.

dan pensyarah aku katanya risau tentang langkah adaptasi yang sibuk diwar-warkan sekarang ini. banyak pihak menganggap perubahan cuaca semacam pengganas yang perlu dihapus secepat mungkin, makanya mereka fikirkan tentang langkah yang drastik juga lalu mencadangkan konsep totalitarian- rakyat dianggap bodoh dalam mengesan perubahan cuaca maka hanya perlu mengikut 100% tanpa banyak bicara semua keputusan kerajaan. entah apa yang kerajaan mahu lakukan, aku sendiri belum jelas. pensyarah kemudiannya lebih lega dengan konsep demokrasi; semua pihak ambil peranan untuk sama-sama berfikir tentang bagaimana mahu mengatasi masalah akibat perubahan cuaca dan ini juga selari dengan unjuran konsep subsidi; di mana kerajaan membantu dan memberi lebih kebebasan untuk rakyat mengkaji dan cuba mengatasi sendiri masalah perubahan cuaca di lokasi masing-masing dan membantu mana-mana yang patut. tetapi proses mendidik masyarakat dan memberi kesedaran mengambil masa lama yang serius. lagi; sejauh mana rakyat boleh dipercayai dengan konsep demokrasi? atau, sejauh mana kerajaan boleh dipercayai dengan konsep totalitarian?

ketika ini aku leka sebentar memikirkan tentang bagaimana islam boleh menyatu dan menstabilkan keadaan dengan mengatasi jurang 'kepercayaan' ni. sebab islam mengunjurkan kesatuan objektif dalam perbezaan perspektif, dan kebebasan terkawal. engkau boleh pergi sejauh-jauhnya tanpa sesat bila engkau ada islam, sebab kau sentiasa ada titik kembali. namun, dari mata perubahan cuaca ini, aku belum nampak aplikasi dan relevan islamnya di mana. yang aku tahu, ia tak mustahil hanya kerana islam itu syumul, dan semua muslim ada tanggungjawab menyelamatkan bumi dan ahli-ahlinya dari dimakan kesan teruk perubahan cuaca.

dan kelas tadi selesai tanpa suatu suara objektif. pilihan masih terbuka, dan ayat akhir pensyarah yang dipetik dari seorang ilmuwan tadi menarik- polisi dengan kebijaksanaan yang tinggi dan pengalaman yang luas adalah saintifik, dan langkah saintifik adalah jalan untuk mengatasi masalah perubahan cuaca.

iya, aku nampak islam itu selari dengan kesaintifikan; cuma belum jelas tentangnya secara spesifik.

Tuesday 7 October 2008

dalam ringannya kepalaku beratnya masih berbaki di hatiku

baru habis mineralogy's practical exam tadi. sejak semalam aku stadi macam sedikit hampeh, tidur bangun jenguk kertas lima minit kemudian terlelap semula sebelum terjaga dan melihat entah berapa lama lagi waktu yang tinggal sebelum exam- badan aku sejak raya ni agaknya sebab makan banyak, dia mengamuk dan cepat sebu, pantang disuap lebih sikit perut mula naik angin dan susah nak hadam..ahh mungkin sebab dah lama stok buah epal tak diganti. tapi dalam banyak-banyak bahagian geosains aku sangat minat mineralogy. dari sekecik-kecik mineral di atas thin section ke sebesar-besar konsep pembentukannya yang aku perlu bayangkan dalam kepala.

maka aku degil yang aku nak jugak puas hati dengan mineralogy nih. dan alhamdulillah waktu practical exam nanti aku bisa membantai jawapan sampai aku puas hati dengan logiknya. balik dari uni melihat dua ekor merpati bermain-main di rumput dekat dengan kerusi yang di belakangnya pokok-pokok dengan bunga-bunga berwarna-warni, sangat cantik. aku berjalan perlahan-lahan mendekati dua ekor burung merpati itu yang perlahan-lahan juga bergerak menjauhi aku. maka persis lah kami buat sementara waktu. kau merpati dan aku manusia; aku sudah punya sebab untuk semakin kurang mencontohi engkau sekarang. kau burung yang cantik; aku doakan kau sentiasa jadi tempat manusia boleh belajar sesuatu.

dan oh ya. dua hari lepas aku sempat menadah hujan batu. kecil-kecil butirannya jatuh terus melebur di atas tapak tangan aku. buat seketika aku dapat merasakan pejal tujahannya tapi sejurus aku menoleh ke tapak tanganku, hanya percikan air yang dapat aku lihat. kemudian aku mendongak ke atas melihat berlian-berlian itu menari dalam udara sementara orang-orang lain lekas-lekas mencari tempat berteduh dan mula mengembangkan payung masing-masing sambil memeluk tubuh, cuba berlindung dari dihujani berlian-berlian.

esok aku wajib submit satu daripada climatology's practical exam aku. tentang aerosols; yang lecturer-nya membuatku terkejut bila dia tiba-tiba memberi salam. muslim rupanya. aku sejak dulu berminat dengan aerosols; ahh aku sentiasa berminat dengan apa-apa yang berkaitan atmospheric science; aerosols adalah antaranya. aku sudah siapkan kesemua 24 graf 90%, tapi belum mula menjawab soalan yang memerlukan aku membaca artikel dari lecturer aku tu. rajin betul dia ni; artikelnya memuatkan observations nya selama 2 tahun. memerhatikan aerosols' particles yang sekecil 3nm selama dua tahun, membaca tentangnya dan menulis tentangnya adalah suatu yang mengagumkan. tabikkkk.

dan yang aku boleh tulis masih terlalu picisan berbanding dengan apa yang aku rasa. bodoh lagi aku rupanya- betullah kata orang cinta itu amat berat sebenarnya untuk ditampung oleh manusia.

Monday 6 October 2008

aah, aku percayakanMu~

i'm not buying it- there are no such things as an eternal death and useless sacrifices. therefore, i wont give up.

tanomimasu. ameen..!

Thursday 2 October 2008

highlight raya

1.
untuk beli barang2 dinner petronas, aku dan dija ikut atuk dan kawan2nya.

'tadi dalam kereta sementara tunggu kau sampai atuk nampak kau dari jauh.'

'oh?'

'die cakap, 'sape pakai baju pink tu?' aku cakap lah 'aqilah'.'

'pastu?'

'die kate 'bajet comel lah pakai baju pink tu.''

'ape?! die cakap macam tu? siap atuk kene blasah...'

'eh eh. nanti. lepas die cakap camtu die diam kejap. kemudian dia cakap 'aah memang comel pun.''

'haha. bagus-bagus.'

dija ngan aku gelak je.


2.
'semalam mama g kedai perabot ngan hasif, nak ganti tikar yang dah berlubang-lubang kat rumah tu. nak raya kan, so mama fikir baik ganti.'

'owh.'

'lepas tu bile mama panggil hasif, apek kedai tu cakap 'eh ini anak lu ka? banyak hensem woo.''

'haha. kembang prasan habis lah si hasif tu.'

'tau xpe. lepas tu cina tu tanya lagi,'lu ada anak berapa?' mama cakap lah ada lagi 7, 2 orang lebih tua dari hasif, sorang abang sorang akak. 2 anak perempuan. lepas tu cina tu cakap 'owh lu ada anak perempuan ka? anak perempuan lu mesti cun-cun aa.'

'haha.'

'lepas tu mama cakap lah 'aah sorang anak perempuan di australia, mata sepet rupa dah macam orang cina ka jepun dah.'

'haha. korea la ma.'

'eh jepun.'

'okeyh, jepun lagi baik. heheh.'


3.
'nanti kem petronas ade kayak kat lumut yang 9 jam tu. abes lah sunburn huhu.'

'abes lah pasni itam lah..haha'

'ish. tu lah kan, kene siap2 bawak sunscreen sume ape-ape yang patut taknak lah sunburn nanti itam..'

'kulit mengelupas sume..'

'ish2. tak nak laa kulit mengelupas. ish x boleh jadi ni. kene prepare bawak ape yang patut x nak kulit sunburn.'

'alah..duniawi je tu..'

p/s: selamat hari raya 1429H ;-)