Friday 31 October 2008

seberat-berat perasaan, seringan-ringan fikiran~

semalam pada waktu begini aku tenggelam lemas dalam lapisan-lapisan kertas nota peperiksaan, sambil cuba menyedut dan meneguk setiap perkataan-perkataan yang larut di dalamnya. sedikit-sedikit dicumbu angin malam yang menggoda namun tak dapat menghembus lalu resah-gelisah aku.

dan pastinya ia akan berulang; tanpa sebarang perasaan aku memikirkannya.

berjalan balik dari perhentian bas sambil memandang ke atas, aku perasan sejak pagi yang hari ini awan nampak lebih rendah dari biasa. gelap di bawahnya, memberat dan sarat dengan segala yang disimpan, sambil bergerak perlahan-lahan sehingga aku sendiri takkan perasan kecuali aku hentikan mataku dan ambil masa untuk merenung dengan mulut kumat-kamit tanpa sebab. ahh, seperti beratnya perasaanku.

kadang-kadang dalam tempoh yang singkat masa tetap kurasakan berjalan dengan sangat lambat.

daun-daun pokok hijau berbunga merah yang tinggi lampai meliuk-liuk ditiup angin yang bertiup lebih laju dari gerakan awan. sedikit pun daunan itu tak risau mengikut alur angin. bebas dan tak malu dilihat menari sebegitu. seperti sesetengah laguku yang apabila mendengarnya; betapa gembiranya dapat menterjemahkan perasaan berat ini dengan sedikit gerakan nakal dan senyuman, walaupun, iya, ia takkan dapat menghilangkan semua rindu itu, tetap meringankan fikiranku. maka mungkin saja aku memerlukannya.

bagi seorang manja sepertiku kedegilan yang terdidik sejak kecil adalah suatu yang sukar untuk diseimbangkan. dan kebanyakan waktu, kedegilan itu akan menang. kerana itu lagu-lagu takkan dapat menenangkan resah ini. aku bukan tak bersyukur, Tuhan. aku cuma masih marahkan diriku. tapi Kau, bagai kaki lumpuh didayung, tulang patah dipapah, Kau layankan juga manja ini. Tuhanku yang maha penyayang ini.

dan mereka pula berkata Kau adalah sekali-sekala ataupun jarang sekali. dalam maluku mengaku Kau segalaku.

p/s: selamat menyambut hari jumaat ;)

No comments: