Tuesday 28 October 2008

peperangan

entah bagaimana dia boleh tersadai di situ dengan beberapa kawan lain. kata mereka dia antara budak-budak terpilih untuk ke kem anjuran sekolah. mereka dihantar ke suatu padang berumput luas yang dibarisi pokok-pokok renek merimbun dan terus ditinggalkan di situ tanpa sebarang petunjuk. ketika mereka masih hilang arah, tiba-tiba seseorang dengan senapang di bahunya berlari menuju mereka dengan pantas tanpa mereka sempat elak. tangannya segera menerjah mereka di kepala sampai mereka tertiarap. kaget dan cemas.

'apa kamu semua buat di sini?!' bentaknya. mereka kebingungan. das-das tembakan kedengaran di udara. tersasar dan senyap; lalu berdentum lagi.

'kamu, seorang-seorang bangun dan berlari ke rimbun renek sana. pakcik kira sampai tiga, kemudian kamu lari. 1, 2, 3!' lelaki tadi tiba-tiba memberi arahan. dengan ketakutan yang amat sangat mereka bangun separuh tunduk sambil berlari sepantas mungkin, berdoa agar tembakan itu tak mengena pada mereka. kelihatan beberapa lelaki bertubuh sasa dan tidak berbaju, dengan arang disapu di badan mereka dan senapang dengan peluru-peluru besar menutup hampir separuh badan mereka. semuanya memegang senapang. ada juga yang berbaju lengkap berwarna biru gelap dan bersenapang juga.

sampai di rimbunan pokok renek yang berbaris dan kelihatan lebih hijau dari rumput-rumput di sekelilingnya itu, mereka berhenti dan berkumpul. suatu suara pun tidak kedengaran. wajah masing-masing hairan dan terkejut; kem sekolah apa ini?

tiba-tiba sebuah helikopter mendarat berdekatan dengan mereka lalu menyuruh mereka masuk. mereka segera berlari menuju helikopter itu namun apabila mereka masuk, wajah-wajah askar di dalam helikopter itu terlalu asing. tiada askar melayu, hanya orang-orang inggeris.

'we are sending you to the cubicle. before that, you will eat', kata seorang askar perempuan berambut blonde. sedikit penjelasan pun tidak diberikan. mereka bertambah hairan, tidak tahu sama ada mereka sudah diselamatkan atau tidak. mereka tidak dibunuh, tetapi dihantar ke tempat lain? mahu melawan mereka tidak mampu kerana mereka tiada senjata. semuanya mati akal; seorang kawan mereka yang dari tadi seperti kelaparan menghela nafas lega setelah mendengar perkataan 'eat'.

mereka diturunkan di suatu tanah lapang dan selepas diturunkan, helikopter itu berlalu pergi. di sana mereka lihat beberapa budak berkulit hitam yang hampir botak; berbibir tebal, bermata bulat, berkepala besar dan agak kurus sedang beratur mengambil makanan. terdetik di hatinya, 'ini kem pelarian kah?'

mereka perlahan-lahan mendekati tempat itu dan melihat apa yang dihidangkan. kentang goreng, 'baked beans' dalam sos tomato dan daging khinzir. 'pasti dia tak makan,' bisiknya bila teringatkan seorang dari kawan mereka yang dikenalinya sebagai sangat menjaga agama. namun mereka semua harus beratur; kelihatan makcik-makcik sedikit garang berbadan gempal dan memakai 'key' di kepala menyendukkan makanan ke dalam pinggan masing-masing.

'only the fries, please,' dia meminta. makcik itu memandangnya sedikit tajam kemudian menyendukkannya kentang goreng tadi ke dalam pinggannya. dia sedikit lega lalu bergerak ke meja dengan stail ala jepun, bersama dengan seorang kawannya yang menjaga agama tadi. kawannya itu lelaki.

'aku ingat kau tak makan. kau lapar ya?' dia menegur kawannya itu. kawannya mengangguk sambil melihat pada kentang goreng dan 'baked beans' dalam pinggannya. 'boleh tambah tak? err..kalau kau tak nak bagi lah pada aku,' katanya. kemudian dia makan dengan agak lahap. kasihankan kawannya, dia memandang sekeliling sambil mencari-cari. budak-budak hitam tadi sedang bermain-main, suara mereka agak riuh rendah dalam bahasa yang tak dapat dia fahami. di pondok kecil itu ada sedikit tangga menuju ke pangkin kayu yang lebih tinggi dan agak tersorok. dia berjalan perlahan-lahan ke dalam kawasan kecil itu dan dapat melihat susunan pinggan mangkuk serta besen air sabun. 'ah, mungkin di sini tempat mereka membasuh pinggan mangkuk', bisiknya.

dalam satu periuk lain, dia ternampak sup ayam yang masih hangat, kemudian ada juga nasi yang separuh lembik, sudah jadi seperti bubur lagaknya. belum sempat dia menjelajah lebih jauh, kedengaran seorang kawannya separuh menjerit, 'eh kita boleh tambah kalau kita mauuu..!' katanya. dia berpaling sebentar dan mendengar, sebelum melibas-libas membersihkan punggungnya lalu bangun dan separuh berlari mendapatkan kawan-kawannya. maka kawan-kawannya yang masih kelaparan segera membawa pinggan masing-masing ke tempat mengambil makanan tadi. hairan; selepas tambah mereka masih lapar, malah kelihatan semakin kurus, termasuk seorang kawannya yang sangat beragama tadi. wajahnya yang cerah dan kacak sekarang nampak lebih cengkung dan lemah.

tiba-tiba helikopter tadi datang semula untuk mengambil mereka. mereka tahu, mereka akan dihantar ke 'the cubicle'. tapi mereka sendiri tidak ada idea langsung dengan apa maksudnya 'the cubicle' itu.

sehinggalah mereka dibawa ke sebuah bilik putih, dengan katil dua tingkat lengkap dengan tilam dan bantal bercadar biru. mereka semua ditempatkan di situ bersama-sama, tidak boleh keluar ke mana-mana melainkan diizinkan. mereka dalam keadaan terpaksa; mengikut arahan atau mungkin mati. di situ mereka dikunci dan ditinggalkan.

setelah beberapa waktu berlalu, masing-masing sudah buntu dan separuh gila, cuba berfikir tentang apa sebenarnya yang sudah jadi kepada mereka. siapa mahu dipercaya, apa mereka boleh lakukan, adakah mereka sebenarnya dalam perang? kemudian, pintu dibuka dan mereka dibawa ke sebuah bar, di mana askar-askar sedang minum-minum sambil bersuka-ria bersama perempuan. mereka disambut dengan mesra oleh askar-askar di situ yang mengajak mereka minum. mereka tolak lalu kemudiannya dibawa semula ke bilik putih tadi. tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kedatangan beberapa perempuan seksi dengan bentuk tubuh menggiurkan dan tidak kelihatan sedikit pun seperti tahanan. kemudian bilik dikunci semula. perempuan-perempuan itu masuk, terus ke katil dan mengajak mereka masing-masing bersembang. dia bingung; sedikit-sedikit matanya tertumpu pada kawan-kawannya yang lelaki. sudah cukup mereka yang perempuan dikuncikan bersama kawan-kawan mereka yang lelaki, sekarang ini perempuan-perempuan seksi pula?

*****

'bayangkanlah apa yang mungkin jadi. taktik orang kafir ini..' aku menutup buku itu kemudian beralih kepada sebuah buku lain. buku yang ini menceritakan zaman pemerintahan seorang pemimpin islam. lebih tepat lagi, buku ini memberitahu selok-belok pentadbiran dan pelaksanaan undang-undang terhadap masyarakat islam tika itu. aku membacanya dengan pantas sambil berasa lega dan puas hati; pentadbiran seperti yang dicatatkan dalam buku ini boleh aku kagumi. sehinggakan kejadian rumah perdana menteri separuhnya dibom orang kafir juga sangat sedikit rakyat yang mengetahuinya.

'buku ini patut jadi buku teks agama sekolah menengah. ini lebih baik daripada asyik mengulang perkara asas tapi tak mengaitkannya dengan signifikan dan konteks yang lebih besar', aku berkata sambil memandang kawan serumah aku. dia mengangguk mengiyakan kata-kataku tetapi sedang memandang ke luar. aku bangun dari katil lalu bergerak kepadanya, sama-sama memandang ke luar tingkap. terdengar deruan ombak laut dan aku terkejut besar melihat seekor makhluk yang sangat besar- bentuknya seperti ikan tetapi punya tangan dan kaki seperti katak, punya ekor dan mulut yang sangat besar dengan gigi-gigi tajam seperti buaya yang sangat mengerikan. seluruh badannya berwarna cokelat gelap dan bergaris-garis hitam dengan mata bulat yang ganas. kemudian aku lihat kawanku itu mengambil tali seakan-akan dawai hitam, mencampakkannya ke arah haiwan itu sehingga cangkuk di hujung dawai itu tersangkut di dalam mulutnya yang sebentar terbuka sebentar tertutup dan kemudian mengikat sebelah hujung lagi dawai itu pada tiang-tiang kayu rumah kami.

'apa akak buat ni?!' aku separuh teriak. 'tiang tu takkan tahan, binatang tu besar, nanti dia pasti akan robohkan rumah ni dengan senang!' aku menyambung. haiwan itu semakin mengganas dan mula berlepar-lepar dalam air laut.

'presiden telefon tadi, ni arahannya.' kata kawan serumah aku itu. aku kaget; haiwan itu kemudian dengan beberapa kali hentap menarik dawai-dawai itu sehingga merobohkan tiang-tiang. haiwan itu mula bergerak mendekati kami, lalu entah bagaimana kawanku itu menarik dawai-dawai tadi dengan tangannya dan membaling haiwan itu ke udara, sampai ke awan. haiwan itu berhenti bergerak; mungkin sudah mati, dan kami dapat melihat dengan jelas tulang-tulangnya yang legap kerana kulitnya lutcahaya, sambil disimbah cahaya bulan. aku dan kawanku itu bergerak pantas ke luar rumah, apabila tiba-tiba presiden datang dengan pembantu-pembantunya dengan wajah tanpa perasaan.

'you are stupid', segera aku katakan padanya, dan tak semena-mena dia juga mengaku. akal apakah tak mampu membezakan antara kekuatan tiang rumah yang kurus dengan haiwan gergasi sebesar itu? 'you are stupid', lagi aku memarahinya tanpa peduli lagi akan posisi dan taraf.

tiba-tiba kedengaran suara pembantunya menjerit dari pantai, menyuruh semua orang lari. aku terkejut; apa pula ini? aku menoleh ke arah laut dan ternampak beberapa kapal besar dengan garis biru dan putih serta muncung hadapan yang tajam menuju ke arah pantai. 'australia diserang filipina', aku diberitahu.

maka kami lari sepantas mungkin menjauhi pantai. ketika sedang berlari aku terserempak dengan saudara-mara dan kawan-kawanku yang lain lalu kami bersaing sehingga sampai ke suatu bukit. di sana-sana ramai budak-budak kecil dikumpulkan dan kami sebagai orang perempuan diarahkan membawa budak-budak kecil itu ke kawasan selamat di atas bukit yang dipenuhi hutan rimba. ironinya, mereka semuanya melayu. seorang kawan aku yang lelaki teringatkan kawannya yang akan datang ke australia dalam masa beberapa hari, lalu berkata mahu menyelamatkan kawannya itu nanti. beberapa makcik mendengar kata-katanya lalu, setelah ditanya banyak kali akhirnya setuju membenarkan kawan aku itu menawarkan diri menjadi askar pembantu. aku melihatnya dengan pandangan sayu, mungkin aku tak akan berjumpanya lagi selepas ini. tapi kemudian aku kuatkan semangat dan meyakinkan diri sendiri yang semuanya akan selamat.

lantas kami yang tinggal berlari ke pondok yang dimaksudkan sambil aku melihat-lihat ke belakang sambil berfikir apa sedang berlaku di kawasan pantai. kedengaran bunyi bom dilontar dan suara manusia yang riuh rendah, masing-masing dalam keadaan terkejut. pondok itu agak kecil dan untuk memasukinya ada tangga, di bawahnya ada kawasan kolah tertutup untuk mandi. budak-budak berkumpul di kawasan kolah kerana kami beritahu kami harus membersihkan dan menyediakan pondok itu dahulu sebelum semua boleh mendudukinya. beberapa orang lain mula mengisi botol-botol air untuk bekalan minum dan memberikannya pada kami, sebelum kami menyusunnya dalam pondok itu. budak-budak yang tidak tahu apa-apa riuh-rendah dalam haru-biru, aku mengarahkan agar seseorang menyuruh mereka diam.

'eh kau balik 19 november ni kan?' seorang saudaraku bertanya.
'aah. tak apa mungkin sempat.' aku menjawab.
'19 november dah dekat. sempat ke perang habis sebelum tu? tak mau mesej mama kau?' dia menyoal lagi. aku serba-salah.

*****

kemudian aku bangun dari tidur. aku mimpi pasal peperangan rupanya. dah banyak aku berlari-lari dalam mimpi tu, agaknya aku boleh cancel plan untuk exercise hari ni?

mungkin.

1 comment:

Nalajas said...

punyaaaaalaa panjang cerita peperangan kau!!! australia kene attack filipina kononnye. kau malas nak exercise cakap je la direct. panjang lebar reasons kau!! haha. aqilaahhhh. kau ni buat mata aku berpinar baca karangan panjang kau.hahah. u make my day!:D