Friday 14 December 2007

steve, bintang dan hari yang panas

dah lebih kurang dua minggu aku bekerja di lilydale's farm.

selalunya bila aku sibuk memetik dan mengutip buah-buah di lilydale's farm tu, ia sama ada aku memang sibuk memetik buah, atau aku sibuk berangan sebab kerja bersifat monotonous itu sepertinya membenarkan. jadi selalunya bila aku sudah 'jauh meninggalkan ladang', kerja aku akan jadi lambat. untuk mengelakkan itu, aku sediakan target dan ikutinya sehampir mungkin. kalau hari itu aku target mahu dapat 10 dulang, maka aku akan cuba usahakan 10. kau tanya berjayakah aku mencapai target..? hehehe...itu rahsia. yang aku boleh beritahu ialah, target aku selepas ini ialah 12 dulang sehari. dan setakat ini aku masih belum berjaya. tak mengapa, cuba lagi. ada rezeki tak ke mana, kan?

macam tadi. ketika aku mahu habiskan dulang terakhir, steve dan nikie juga berebut row yang sama dengan aku, sebab row mereka dah selesai tetapi dulang mereka belum penuh. maksudnya, bekasnya ada, tapi buahnya tak ada. jadi mereka pun mencari-cari buah di tempat aku. walaupun benda tu tak salah (rezeki masing-masing kan, dah nampak buah kenapa tak mahu kutip, walaupun di row orang lain) tetapi aku geram. sebab kalau boleh aku mahu habiskan 'row aku', tanpa gangguan orang lain.

mereka kutip dari satu hujung, aku kutip dari hujung sebelah lagi. kami bertemu di tengah-tengah (chewahhh...dramatik kan) dan 'berebut' buah, mana-mana yang sempat. aku hanya diam sahaja tanpa bercakap apa-apa. nikie dan steve selalu kutip buah bersama, dan mereka selalu bersembang. aku ini berat mulut, tak reti nak menegur dahulu, jadi aku selalu diamkan diri sahaja. ramai orang yang tak kenal aku anggap aku sombong. aku fikir steve dan nikie juga. walaupun aku suka lihat mereka bekerja (mereka sangat bersungguh-sungguh dan untung banyak, dua tiga kali ganda gaji aku) tetapi aku tak reti bagaimana nak mulakan perbualan dengan mereka. jadi aku hanya memerhati (aku rasa mereka perasan) dari jauh. dalam hidup aku, selalu begitu. aku bukan manusia yang banyak cakap di public tetapi aku pandai bercakap. iya, dengan orang-orang tertentu. mungkin sebab aku rasa bahawa cara komunikasi sesama manusia bukan sahaja terhad melalui mulut. kaki tangan muka pun, boleh bercakap banyak benda.

tiba-tiba steve memasukkan buah-buah yang dia kutip tadi ke dalam bekas aku. "these are more," katanya ringkas. mukanya sifar ekspresi. aku terkejut dan berkata "it's okay, you dont have to..." tetapi dia sudah pun berlalu tanpa berkata apa-apa. aku tersenyum dan berkata perlahan, "thanks." aku rasa, itu mungkin salah satu cara steve berkomunikasi dengan aku untuk memberitahu yang kami kawan. kalau diikutkan, disebabkan dia dah kutip, maka buah-buah itu dialah yang punya. tapi dia memberikannya kepadaku. rezeki jangan ditolak, kan?

tapi aku tetap rasa tak selesa sebab ada orang bantu aku. maka aku teruskan lagi mencari buah-buah yang belum dikutip. dan akhirnya aku jumpa buah di rows yang lain. banyak dan dah masak ranum pulak tu. dapat lah aku tambah lebih separuh dulang lagi. sehinggakan ross (tuan ladang) pun terkejut. sebab rupa-rupanya sesetengah pekerja tinggalkan rows mereka sebelum habis mengutip buah-buah di rows masing-masing. kerja yang tidak bersungguh-sungguh. aku harap ross takkan suruh kami petik buah di rows yang sama esok hari. kalau tidak, banyak masa akan terbuang di situ nanti, dan kami takkan dapat kutip banyak buah.

apa-apa pun, aku gembira. sebab mula-mula aku fikir (terutamanya bila steve dan nikie kutip buah di rows aku) aku takkan dapat kutip banyak buah hari ini bila mereka ambil rows aku. tapi kemudian aku ingat balik, kalau ada rezeki tak ke mana kan. alhamdulillah, lepas tu aku jumpa banyak lagi buah-buah yang elok-elok dan molek-molek. ahh..bayangkan buah raspberry yang aku petik dari pokok, dieksport dan dijual di malaysia. atau china. atau singapura. atau di mana-mana sekalipun. seorang manusia di dunia berasingan sedang makan sebiji buah yang tangan aku kutip. serupa magik je. hehe.

speaking of magic, tadi aku teringat lirik lagu "lagu untukmu" by meet uncle hussein. ada perkataan 'bintang' dalam lagunya. ia membuatkan aku berfikir (dengan ilham dari Dia) tentang suatu falsafah.

matahari mungkin bukan lah bintang terbesar, paling terang atau terindah. tapi matahari lah bintang yang paling dekat dengan kita. yang memberi kita cahaya dan tenaga, dan membantu segala hidupan. sama juga seperti orang-orang kesayangan kita; mereka mungkin bukan lah manusia terbaik, terkaya atau tercantik di muka bumi. tetapi mereka lah orang yang paling dekat dengan kita, yang sentiasa ada bersama-sama kita di kala senang dan susah, dan memberikan kita pengharapan dan membuatkan kita yakin untuk terus hidup tanpa putus asa. tetapi bintang-bintang yang jauh itu bukanlah langsung tak berguna; mereka tetap indah dan mampu memberi inspirasi dalam kehidupan. dan seperti mana semua hidupan, bintang juga akan mati suatu hari nanti. jadi, hargailah dan jagalah matahari-matahari kita dengan baik, selagi mereka masih ada. mahu dapatkan 'matahari terindah'? hehe. cari lah sendiri ;p

di ladang itu, aku berjumpa dengan banyak binatang yang aku anggap macam kawan-kawan aku. bila aku panggil seekor kuda (yang aku namakan shokkeru atas peristiwa aku terkena electric shock) 'seorang', aku dimarah seseorang sebab sepatutnya kuda dipanggil 'seekor'. apa-apa pun aku tetap anggap mereka semua kawan-kawan aku. ada kuda 4 ekor (3 warna cokelat, 1 warna putih), arnab, lembu, anjing, kuroneko (kucing hitam), kucing belang-belang warna kelabu, dan pelbagai jenis serangga. semuanya kawan aku.

kecuali si lalat-lalat. haha.

mereka datang dan buat bising. datang dan hinggap. kemudian aku tepis. datang lagi. dan cium pula. semakin ganas. terbang semula bila aku gerakkan muka dan tangan. datang lagi dan terbang. datang dan terbang. datang, terbang. arrrgghhhh....rimasnya aku. ganggu konsentrasi betul.

dan bila cuaca semakin panas, mereka semakin bermaharajalela. aku rasa seperti mahu isytiharkan perang sahaja ke atas mereka. mereka melambatkan kerja aku.

dan hari ini memang panas. maksimum 30 celcius. selepas aku balik dari kerja dan keluar makan dengan nabila di clayton (nak ke chadstone tak jadi, kedai dah tutup. haha) kami dapat rasa bahang panas mentari selepas keluar dari restoran charcoal chicken tu. dan dari waktu menunggu bas sehingga turun bas, ada aksi-aksi drama yang kami tonton.

entahlah, mungkin akibat hari yang panas, maka semua orang pun 'senang panas'. dua wanita bergaduh entah sebab apa, sehingga orang di sekeliling mula risau melihatnya. aku dan nabila juga risau. apa tidaknya, bergaduh di tepi jalan sebelah bas, suara naik tinggi, tangan di udara menunggu masa untuk hinggap di muka sesiapa. syukur tak seorang pun menjadi mangsa, kecuali seorang bayi comel yang menangis ketakutan. kasihan bayi itu, menangis tak henti-henti.

dan bila sampai ke stesen uni, drama kedua berlaku. seorang budak lelaki naik bas tapi tercegat di depan pintu. entah kenapa- keliru? takut? sehingga pemandu bas yang seperti 'panas' akibat pergaduhan tadi yang berlaku di sebelah basnya berkata dengan suara yang agak kasar kepada budak lelaki itu, "do you want to ride or not? i'm running late!" budak lelaki itu tergamam dan segera berlalu. seorang wanita tua di belakangnya, apabila melihat kejadian itu, naik angin pula dengan sikap pemandu bas tadi. dia menggelar sikap pemandu bas yang tiba-tiba meninggikan suara dengan budak lelaki itu sebagai 'rude'. satu pertelingkahan lagi berlaku. aku dan nabila saling memandang. adakah kami salah naik bas?

"weh cepat lah sampai. aku takut lah. kenapa semua orang hangin ni?" nabila. aku diam sahaja.

alhamdulillah kami selamat sampai ke bilik kami yang aman sentosa. kejadian-kejadian itu mengajar aku- kalau aku naik mercedes benz dan duduk di seat seorang boss setiap hari untuk ke mana sahaja, aku takkan tahu semua ini. dan aku takkan jadi pemimpin yang baik.

sama juga seperti. kalau aku tak bekerja di ladang, aku takkan tahu bagaimana untuk appreciate buah-buahan itu seperti mana sekarang ini. hehe.

2 comments:

mostlyepiphanies said...

ya entri yang baik!
Bagus sekali!

Selamat memetik okay!barangkali sudah sunburn kah?

Lexy Rollo said...

kutip buah dekat rows??o.0...
mcm mane tuh?
nanti amekla gama dekat tempat keje ko tuh.