Monday 23 February 2009

hana yori dango- planetarium; repeated: current song

Sayang mengejutkan aku pagi tadi; seperti yang dia setia selalu. Sambil kemudiannya aku menyediakan sarapan untuk ahnaf dan rais ke sekolah, kedengaran ayam berkokok bersahutan. Seperti mendayu-dayu pula bunyinya.

Tuhan kata, mama kata, sayang kata, ustaz kata, semua yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Semalam adalah hari yang sangat indah ketika kali akhir aku jumpa afiq dan aisyah sebelum aku ke australia semula, walaupun dua hari sebelumnya hampir-hampir sayang sendiri yang mendengar aku menangis, walaupun aku selalu fikir bahawa ia hampir mustahil untuk aku menangis bila dengannya.

Mama kata, benda dah nak jadi. Mama peluk aku dan usap air mata aku yang berjurai, kesat sampai kering. Aku cuma kesal yang aku tak habis-habis menyusahkan mama. Mama kata sebab itu dia ada di sisi aku. Dia kata aku mesti kuat, seperti mana aku kuat sejak aku 11 tahun lagi. Aku tak boleh nampak lemah depan adik-adik. Jadi aku mesti berhenti menangis.

Aku angkat muka. Mama kata syukur dia ada di samping aku semasa semuanya jadi. Aku sendiri rasa teramat bersyukur dengan adanya mama, sepanjang hari dengan nabila, semasa menunggu tren sampai di stesyen ktm midvalley, semasa berasak-asak memasuki tren, semasa aku tersedar yang poket depan beg galas aku separuh terbuka, semasa aku dapati wallet dan hp aku hilang, semasa aku berteriak dari gerabak ke gerabak meminta barang-barangku dipulangkan, semasa tren kami tiba-tiba mati, semasa kami semua terpaksa turun ke railway dan naik tren lain, semasa aku akhirnya menangis bila mama ulang sambil pandang aku yang sedang menunduk, ‘mama nak kamu jangan fikir sangat pasal benda ni, k’, semasa aku buat laporan polis, semasa kami ke cc untuk block kad-kad atm aku, sepanjang perjalanan pulang.

Semuanya macam mimpi.

Tuhan, jauhkanlah unjuran kejahatan dari kecurian itu, dan lindungilah kami dari semua yang tak kami ingini. Ameen, ameen, ameen..

Terima kasih Tuhan, atas semua manusia gila hebat yang Kau dampingkan denganku..

1 comment:

anamunawwarah said...

alahai..qila...
jahat tol manusia tu.jgn lupa tanya dia napa curi brg kamu di akhirat nanti.

oh tak apa,tuhan takkan lupa=)