Monday 25 June 2007

apa masalah anda?

jarak ini memang beralasan. benar bila Dia kata tak ada yang Dia jadikan sia-sia.

aku lihat. betapa manusia bijak jatuh dalam gaung. akibat putus cinta. aku juga lihat. betapa manusia baik soleh alim, boleh tertipu dengan dunia dan tersungkur teruk. aku juga menyaksikan. betapa perkahwinan atas dasar cinta yang diuar-uarkan kesuciannya runtuh walau baru sekejap saja masjid dibina. aku pernah tengok. betapa hari-hari indah berbunga takkan kekal selamanya. gambar-gambar di friendster. majalah-majalah dan akhbar-akhbar. blog-blog. betapa manusia boleh berubah dengan sekelip mata. betapa dengan mudah meluahkan kata dan berjanji tapi tak sampai ke hujungnya.

semuanya membuatkan aku insaf. kalau boleh, ingin kukongsi rasa ini. beban jiwa ini. tapi apakan daya. kemampuanku menyampaikan wacana sangat terbatas. maka aku hanya lakukan semampu aku. maka maafkan aku atas kupasan yang belum matang dan tidak menyeluruh ini.

kesan nasihat ustaz yang amat terdahulu itu memang beri kesan mendalam pada diriku. sebab aku dah nekad, mahu jadikan nasihatnya sebagai batu asas.

"kenal siapa diri? diri ini hak siapa?"

kata-kata yang cukup sebagai jawapan segala-galanya. tak perlu lagi dirobah, tak perlu lagi dikopek-kopek dan dikupas-kupas. hehe. maaf. ini memang aku. masalah je yang panjang berjela, penyelesaiannya ringkas sahaja.

sebenarnya masalah dan penyelesaiannya itu perkara penting tapi kecil. yang betul-betul membezakan antara si fulan itu dan si fulan ini ialah proses sepanjang mereka menghadapi masalah itu. dan, ya. bahagian itulah yang amat gagal sekali aku kupas. kalau mahu, aku boleh bercerita. cuma kesan proses ini tampak. dari gaya jalan orang itu. lirik matanya. ayunan tangannya. kepantasan berbicaranya. ketenangannya.

benda-benda ni tak boleh dipelajari dari buku. tak boleh ditelaah dengan membaca blog orang lain. itulah proses, atau kita panggil dengan bahasa klise nye, pengalaman.

ya, dan bahagian itulah yang sering aku gagal ceritakan. semuanya sangat kompleks, dan amat bergantung kepada si pendengar, ilmu pendengar dan pengalaman pendengar.

pernahkah, kamu membaca satu artikel dan dapat memahamkan setiap butir apa yang ingin disampaikan penulis, walaupun dia tak memberitahunya secara jelas dan terang? walaupun dia tak tuliskannya dalam ayat-ayatnya dan diperincikan satu-satu apa yang dimaksudkannya?

itulah rezeki dari pengalaman. maka nasihatku kawan, usah sedih dan risau kerana pengalaman. nasihatku yang terakhir, apa-apa yang kau lakukan, tepuk dada tanya iman. letak alQuran dan sunnah di depan. akal berfikir ikut skop alQuran dan sunnah.

biar sebanyak mana pun kebijaksanaanmu, biar setinggi mana pun impianmu, biar sedalam mana pun perasaanmu.

Allahu'alam.

3 comments:

Anonymous said...

Insyallah kita sama2 letakkan al-qur'an dan sunnah dalam hati, bukan di hujung jari.

Tinggalkan alamat emel kak di blog saya. Nanti saya kirimkan lagu itu kepada kak. (hehehe nak kena boongkar dulu cd2 saya).

Anonymous said...

Salam, saya setuju perenggan berikut:

ya, dan bahagian itulah yang sering aku gagal ceritakan. semuanya sangat kompleks, dan amat bergantung kepada si pendengar, ilmu pendengar dan pengalaman pendengar.

pernahkah, kamu membaca satu artikel dan dapat memahamkan setiap butir apa yang ingin disampaikan penulis, walaupun dia tak memberitahunya secara jelas dan terang? walaupun dia tak tuliskannya dalam ayat-ayatnya dan diperincikan satu-satu apa yang dimaksudkannya?


Komentar saya: Pembaca, seperti juga penulis, ada tanggungjawab moral antara satu sama lain.

Penulis harus berterus-terang menjelaskan maksudnya, membongkar fikirannya dan hujahnya untuk dinilai pembaca -- sama ada kuat, bernas, atau sebaliknya.

Pembaca juga memikul tanggungjawab untuk menyedarkan penulis tentang kuat lemahnya pandangan penulis. Agar penulis menyedari sisi-sisi baik buruk pandangannya. Jadi, penulis boleh memperbaiki mutu penghujahannya, mutu pengetahuannya, mutu penulisannya.

Atau, pembaca boleh menawarkan cara-cara lain untuk mendekati sesuatu idea/persoalan yang ditulis untuk dinilai bersama oleh penulis dan pembaca-pembaca lain.

Dengan cara ini, kita telah melahirkan "komuniti ilmu" yang saling berhubung (interactive).

Dengan itu, diharapkan, tahap (tingkat atau palang) mutu penulisan dan penghujahan masyarakat kita akan berjaya ditingkatkan/ditinggikan, sedikit demi sedikit.

Setidak-tidaknya, pembaca boleh meminta penjelasan lanjut daripada penulis sebelum menolak/bersetuju dengan ideanya.

Tanggungjawab pembaca seumpama ini -- sayangnya -- tidak berjalan lancar di negara kita.

akira said...

salam pakcik fathi aris omar,

oh. pakcik ingin bawa saya ke persoalan yang sering pakcik uar-uarkan tu. persoalan kematangan berfikir, kebebasan memberikan pendapat, penggunaan akal secara optima, dalam mengupas satu-satu isu atau memberikan satu-satu idea. dan kemudian mengajak ke arah wacana ilmiah untuk berbincang sejauh mana relevannya satu-satu idea tu direalisasikan, sejajar dengan islam. (ini yang saya faham)

hmm...masyarakat kita ada satu perspektif- (bukan semua, tapi majoriti) iaitu penulis ada tanggungjawab untuk memastikan setiap yang ditulisnya itu baik dan bawa manfaat kepada masyarakat (contoh: karya orang islam semuanya adalah dakwah) maka banyak aspek harus dijaga. saya nampak isu ini ada dibincangkan masa 'sastera islami VS sastera underground'. dari satu segi kejujuran dalam penulisan itu penting supaya masyarakat terdedah dengan kebenaran, dan menilai sendiri pros dan cons dari kebenaran yang dah dipaparkan pada mereka. dari satu segi yang lain, masyarakat yang lemah jiwa, akal dan pembawaannya mudah tersalah tafsir mesej penulis atau ambil bulat-bulat tanpa berfikir secara mendalam tentang maklumat yang mereka terima. dari sini, aspek 'setiap karya itu dakwah' td dibangkitkan semula. tujuannya untuk memelihara masyarakat. tujuan ulama adalah untuk menjauhkan masyarakat dari keliru, tambahan lagi dengan pegangan asas agama itu sendiri yang lemah,maka point ini ada relevannya.

tapi saya tak salahkan sesiapa. masyarakat kita memang 'dimanjakan' (disuap) sekaligus 'dikawal' pemikirannya dari pendedahan elemen-elemen luar (cuma saya tak tahu sejauh mana) menyebabkan mereka berfikir semacam semua penulis itu mesti memastikan apa yang mereka bawa adalah benda-benda yang bukan untuk difikirkan secara kritis atau 'to trigger the mind to think secara indirect'. kalau ada penulis yang menulis untuk memberi kesedaran atau membuka satu ruang wacana, maka mereka semacam awal-awal perlu beritahu- "saya menulis ni untuk beri kamu dan kamu berfikir sedikit. kalau salah sama-sama kita bincangkan, kalau betul sama-sama kita fikirkan, kalau samar-samar sama-sama kita perjelaskan. ini cuma gagasan idea saya, bukan pelaksanaan undang-undang."

jadi, bila contohnya pakcik, menulis dengan tujuan menyedarkan orang lain tapi dengan gaya dan bahasa yang pakcik gunakan, masyarakat kita tak biasa. ada yang terus melatah, ada yang terima bulat-bulat tanpa berfikir, ada yang bertanya macam-macam tanpa rajin betul-betul memerhati dan membaca dahulu. masyarakat tak biasa mengkritik apa yang mereka baca.

lagi satu, masyarakat pandang kritikan sebagai niat untuk berlawan atau ambil arah bertentangan. seperti suatu norma bahawa setiap orang perlu ambil 'side' dan menyokong sesetengah pihak tak kiralah siapa pun dia. seperti 'kalau saya tak setuju dengan pandangan seseorang, maka saya adalah seterunya'. seperti kata ibu saya, kadang-kadang kita rasa suatu ketidaksetujuan itu adalah personal attack, padahal ia adalah idea attack. (dari apa yang saya faham tentang konteks pakcik). ramai yang sokong islam tanpa mahu betul-betul kenal apa itu islam. akhirnya, kalau ada orang seleweng dalam agama pun dia susah nak nampak. dia hanya boleh kata 'hai apa nak jadi umat islam sekarang ni' tapi bila ajak dia kupas satu-satu isu, dia masih lemah. bagi saya tak salah nak bersemangat dalam agama, sayang agama, sokong agama, tapi dalam masa yang sama, cinta itu perlu dibina atas dasar faham, kenal dan rasa dalam jiwa. barulah betul-betul mantap dan melekat dalam hati, insyaAllah. baru tak dapat digugat akarnya. dan mahu tak mahu, antara cara yang berkesan ialah dengan banyak berfikir, suka bertanya dan kritik dengan cara yang betul. di zaman Nabi pun, walaupun mereka terima semua ajaran Nabi, tapi mereka juga rajin bertanya macam-macam. bukan sebab mereka sengaja nak lawan Nabi, tapi niat mereka ikhlas, nak lebih kenal dan faham apa itu islam. sampai Allah kena tegur mereka sebab terlalu banyak bertanya sehingga mengganggu Nabi. dari situ saya nampak, pentingnya masyarakat ada daya berfikir dan menilai tu. untuk memantapkan pemahaman dan menguatkan akar dasar kepercayaan. bukan untuk mempersoalkan kepercayaan.

masyarakat masih perlu dididik. pakcik bawakan satu gelombang yang 'tajam' dan 'abrupt' (untuk masyarakat kita). ada pros dan cons nya. dan ya, amat-amat bergantung kepada si pendengar sekalian.

p/s: aduh, saya muda lagi la pakcik. tak layak nak sembang isu ni. ilmu tak cukupp...! tapi sebab pakcik dah komen...maafkan ya kalau ada kurang di mana-mana. sesiapa yang baca pun sama. dan saya juga masih kurang di sana sini. maka sekali lagi, maafkan saya.