Thursday 24 January 2008

seperti biasa

tadi aku nampak pelangi. seperti biasa setiap kali aku seperti orang jakun yang merenung pelangi lama-lama. sampai dia hilang.

pelangi tu, sekejap-sekejap dia jelas dan panjang. kemudian pendek dan makin kabur. kemudian terang semula. bila dah masuk maghrib, ia benar-benar hilang.

semasa ia sedikit kabur dan aku ingatkan ia sudah hilang, aku nampak bulu burung terbang dari bawah ke atas dekat dengan tingkap bilik aku. macam dalam cerita forrest gump. bulu burung tu terbang semakin tinggi dan kemudian menghilang ke bahagian apartmen sebelah.

dan ketika pelangi itu nampak paling jelas, langit seperti berubah warna, dari biru gelap ke biru kehijauan. ahh, baru aku ingat. biru kehijauan kegemaran aku itu. semasa di tadika, mama belikan aku pensel warna luna yang punya 48 warna dalam casing besi. setiap hari aku membawanya ke tadika. dan antara warna-warna yang paling aku suka, ialah warna biru kehijauan, seperti warna langit sekarang.

sangat lawa. sangat lawa sampai aku terdiam.

aku ada nampak kapal terbang juga. ah, itu biasa. yang luar biasa ialah aku nampak helikopter juga. dua-dua sekaligus dalam masa kurang 10 minit. terbang ya? entah apa perasaan itu nanti. samakah seperti sekarang? sama kah perasaan di dalam kapal terbang balik ke rumah dengan perasaan di dalam bilik ini? atau sama kah perasaan ketika melihat pelangi tadi dengan perasaan semasa aku manulis entri ini?

dan perasaan itu, akan hilang kah? dan takkan datang semula?

adakah aku akan bosan, menunggu dan melihat pelangi?
adakah aku akan bosan, mendengar angin menyanyi?
adakah aku akan bosan, melayan hujan menari?

entah. dan jika aku akan bosan, bilakah waktunya?

azan maghrib. malam dengan bulannya pula, datang menjenguk luar tingkap aku. sekarang bulan penuh, dan aku dapat lihat wajah bulan dengan sangat jelas. dan cahayanya, macam terserak ke sekeliling, dalam empat penjuru, seperti sebuah bintang.

ketika aku menghabiskan malam di meja yang sama ini, aku dapat melihat bulan bergerak dari hadapan kiriku ke belakang kiriku, seolah-olah mengelilingi separa bulatan. semacam mengikut lengkungan pelangi.

dan malam, ketika lampu-lampu neon itu kelihatan sangat kuning dan terang, tetapi mereka bersinar terlalu jauh dari gapaian aku. terlalu jauh; hanya nampak bintik-bintik kecil sahaja yang aku boleh sambungkan semacam titik-titik dalam buku latihan semasa di tadika dulu. atau boleh juga dikatakan, seperti buruj-buruj di langit.

dan seperti biasa, seperti biasa.

sehari lagi berlalu. mengenangkan kembali, ketika aku masih kecik. ketika aku merasakan hidup aku sudah sempurna. ketika aku fikir aku sudah cukup bersedia menghadapi semuanya. aku tak sabar-sabar menjadi dewasa, tak sabar-sabar menjadi manusia harapan.

tanpa aku sedar yang bila aku benar-benar sudah besar, ia sebenarnya sangat menyakitkan. dan bilamana masa itu sudah benar-benar tiba, sejujurnya aku rasa lemas, sebab aku rasakan aku sangat tidak bersedia. seperti terlalu banyak yang aku ketinggalan. seperti terlalu banyak yang perlu aku hadap dan laksanakan dengan baik.

namun, dengan perkara yang terlalu banyak itu, apa yang aku boleh buat sekarang hanyalah tunggu. sambil merasakan setiap cubitan, menadah setiap titik tangis, mengira setiap langkah, menjalani setiap saat. dan dengan daif aku mengakuinya.

oh Tuhan.


p/s: selamat menyambut hari jumaat.

2 comments:

Mesin Kata said...

(Gong dipukul~)

Maharaja Setan bertitah:

Beta suka dgn gaya bahasa tuan hamba.
Sgt lembut dan memudahkan beta membayangkannya. Seolah2 beta turut berada di sana juga.

akira said...

oh, si Maharaja Setan.

bahasa hamba memang memikat.

memang berniat mahu menyentuh hati-hati, seperti hati tuan hamba Maharaja Setan.

(gong dipukul~)