Sunday 5 December 2010

denyut-denyut

acap kali aku buka kembali blog, mesti teringat kata-kata seorang kawan "dah lama kau tak menulis dalam bahasa melayu". aku kemudian fikir, di australia aku rajin menulis dalam bahasa melayu sebab majoriti orang adalah bukan melayu, jadi keinginan untuk berbahasa melayu tu tinggi. tapi bila dah pulang ke tanah air majoriti orang bertutur dalam bahasa inggeris maka aku lebih selesa menulis dalam bahasa inggeris. aku tahu ia paradoks tapi mungkin juga lah ia kerana sifat aku yang suka berahsia, maka kalau boleh, walaupun tidak mungkin, setidak-tidaknya aku dapat rahsiakan apa yang aku rasa dengan menulis dalam bahasa berlainan. yang peliknya, tidak kira di mana aku menulis pasti orang dari dunia mana pun mampu membaca tulisan ini asalkan mereka faham bahasa melayu dan inggeris. tapi itulah, walaupun pelik aku tetap buat seperti mana yang aku rasa.

sudah terlalu lama tak menulis dalam bahasa melayu, kekok benar rasanya.

sejak khamis aku batuk dan selesema, dengan demam dan sakit kepala. sekali bersin berbaki sakitnya di kepala, terasa berpinar-pinar. seluruh badan terutama bahagian kiri semakin lenguh dan sengal rasanya, dan betapa lama tidur pun lenanya tak sampai-sampai, tapi terpaksa kugagahkan juga supaya cepat sihat. harap-harapnya sakitku tidaklah menyusahkan sesiapa dan tidak melarat; begitu fikirku. pertama kali aku mencuba panadol soluble, boleh tahan berkesannya, alhamdulillah. tup tup tap teringat kisah nabi musa; kesakitan sembuh disebabkan oleh Allah bukan ubat, maka aku pun cuba bertahan; moga-moga mendapat keizinan.

kata abah, sakit itu kifarah. oh, semalam dalam mimpi aku jumpa abah. walaupun mimpi tu agak kabur; mungkin sebab aku yang tak berapa sihat, tapi gembiranya dapat berjumpa setelah beberapa waktu. harap-harap abah gembira di sana hendaknya.

hari ini sakitku sudah bertambah kurang, selera makan bertambah baik dan tenagaku cukup untuk membantuku mengemas bilik yang berhabuk dan mencuci cadar dan sarung bantal yang sudah lama tidak dicuci. sambil-sambil mengulang tayang sherlock holmes buat entah beberapa kali, cuba membunuh masa yang cuba membuatkan diri ini bertambah rindu.

tak mengapa, sesungguhnya setiap ketentuan itu ada hikmah dan pengajaran yang dibawanya.

maka aku mencuba menguatkan diri dengan sibuk melayan si kecil arisya yang petah. sudah pandai ber-facebook sekarang, malah lebih pandai ber-smiley daripadaku. ketawa dan komen-komennya sangat jernih dan tulus, bila kumenung-menungkan ingin sekali aku lihatnya senantiasa begitu walaupun jauh dari mungkin. bila semakin dewasa manusia pasti akan berubah menurut pengalaman, ilmu dan perasaannya serta dunia mana yang mencoraknya. dan tiada dunia yang jernih sekarang, betapapun semua menginginkannya. dunia juga semakin tua seperti kita.

malah dengan adegan-adegan yang amat menakutkan. (jika kalian baca buku berjudul 'half the sky' pasti kalian akan mengerti, bagaimana perempuan dilayan di dunia setiap hari. gerun dan menakutkan. ya Allah lindungilah kami keseluruhannya. ameen ameen ameen).

nampaknya sudah lewat..beransur dulu. minta maaf segala salah silap dan terima kasih atas kasih sayang semua. hanya Allah yang mampu membalasnya. ameen, ameen ameen ya Allah.

p/s; aqil sayang, selamat hari lahir. akak kira mesti kamu semakin muda dan dijaga baik di sana kan :)

mak sayang, selamat hari lahir..moga panjang umur, murah rezki dan sentiasa dlm sayang Allah selalu ameen.. =)

1 comment:

Amiene Rev said...

Selamat Tahun Baru Islam!