Wednesday 30 May 2007

mazhab makna

Faisal Tehrani,
Siaran Dewan Sastera, Mei 2007

SESUDAH kita merdeka selama 50 tahun, karya-karya sastera khususnya daripada pengarang muda tidak akan terikat lagi bentuk. Gaya bahasa indah adalah keperluan dalam sastera, tidak kita nafikan. Plot yang rancu mungkin akan menambah kekuatan cerpen atau novel. Watak dan perwatakan yang penuh warna-warni adalah cangkuk yang hebat untuk pembaca. Dan di sana sini ada ilmu bantu untuk meyakinkan khayalak.

Tetapi itu cara lama, cara sebelum merdeka. Pengarang sebelum merdeka barangkali masih terpengaruh oleh aspek luaran tersebut kerana mereka masih bergelut untuk membebaskan diri dari penjajahan Barat. Kerana itulah gaya realisme misalnya masih bentuk yang terpakai dalam karya sastera. Perbincangan dan persoalan dalam karya sangat mencerminkan realiti kehidupan semasa. Cerita adalah cerita yang tentu menghantar moral dan kebaikan tetapi masih terperangkap menyalin kemaksiatan dan kemunafikan di luar. Hasilnya campur aduk yang mengelirukan.

Tetapi kita tak menyalahkan, itu cabaran sebelum merdeka dan tahun-tahun awal sesudah kemerdekaan disemai. Betul, kita belum boleh menuai, musim yang dihadapi oleh pengarang seperti saya ialah banyaknya musuh untuk mengacau pertumbuhan pohon kemerdekaan bangsa. Saya mesti bersedia dengan pelbagai alat dan ubat untuk melawan serangga perosak yang tidak lelah menggasak.

Karya sastera adalah sekolah, jauh sebelum kita dijajah. Pantun, gurindam, syair, hikayat menjadi institusi pendidikan untuk memahamkan generasi mendatang tentang kesempurnaan kehidupan yang dilandasi akhirat. Tetapi penjajah datang dan menyebar pemisahan agama dari dunia. Dan karya sastera kita terikut-ikut sama.

Namun sudah 50 tahun merdeka. Kita jangan mengagungkan bentuk lagi. Kerana keagungan bentuk dalam karya seni ialah fahaman yang dibawa penjajah. Fahaman kita apa?

Makna, maknalah yang paling utama. Cabaran 50 tahun sesudah merdeka ialah menghantar makna dalam karya, memeriahkan wacana dalam kesusasteraan sehingga novel atau cerpen menjadikan pembaca pandai bila menelaahnya, bukan memperbodoh-bodohkan khalayak. Dan tidak ada makna kemerdekaan yang paling ulung selain merdeka diri dan jiwa dari perhambaan sesama manusia kerana kita hanya hamba Tuhan. Tauhid akan jadi makna kemerdekaan yang menakjubkan, juga luar biasa, kerana itu cabaran pengarang dekad-dekad seterusnya bukan lagi mencantikkan plot, menyedapkan bahasa yang sedia enak, atau menyediakan sisi pandang berbeza, bukan juga episod emosi yang meleret-leret duka dengan melankolia mengada. Cabaran kami, dan pengarang selanjutnya ialah bergelut dengan globalisasi, satu penjajahan baru yang luar biasa rempuhannya. Untuk itu ada banyak idea disuguhkan Barat untuk menguasai kita dalam bentuk baru.

Kita harus melawannya sungguh-sungguh. Caranya bagaimana? Caranya, dengan idea juga. Kita mesti bersiap untuk menjadi perisai supaya idea sesat dapat kita betulkan dan luruskan semula. Pengarang harus menguasai ilmu dan idea malah segala macam falsafah, jika tidak kita bakal karam dan tenggelam sama. Untuk itu, tidak saya tolak yang cerita sama pentingnya dengan makna. Bentuk hanya membawa, jadi kenderaan, jadi alat untuk menghubungkan makna dengan pembaca. Cabaran mazhab makna ialah menguasai ilmu, wacana, falsafah supaya kita dapat melawan kejahatan Barat yang ingin menjajah semula. Cabaran mazhab makna ialah kembali kepada jati diri dan jangan sampai tergoda-goda semula dengan bentuk dari Barat yang selalu mempesonakan tetapi sebenarnya memperdayakan. Jika ada yang terpesona kita pujuk jika munasabah, kita pukul jika keterlaluan. Macam mengajar anak.

Jati diri yang harus kita kuasai semula itu merangkumi spiritual, falsafah, nafsu, akal dan segala daya usaha peribadi. Bangsa yang gagal menguasai falsafah, yang menutup kursus falsafah di universiti ialah bangsa yang akan kalah dalam bidang sains. Falsafah dalam karya sastera adalah bumbu dan mangkin untuk kemajuan sains dan teknologi. Lihatlah sejarah umat berjaya di dunia, bangsa yang karya atau kerja sasteranya tepu dengan falsafah, bangsa itu jugalah yang mencipta-cipta bermacam ragam produk peradaban (yang kini kita namakan sains dan teknologi).

Inilah cabaran pengarang semasa dan seterusnya selepas merdeka. Kita harus memesrai falsafah supaya masyarakat saintis yang kalah oleh Barat akan dapat semula kekuatannya. Kerana itu kerja pengarang sastera bukan lagi menyempurnakan bentuk atau luaran karya tetapi harus mendalami makna dan wacana. Hanya dengan idea dan kekuatan daya taakul kita akan jadi bangsa yang terus merdeka.

Dan kerja mazhab makna ini bukan milik pengarang Melayu-Islam sahaja, kerana kita di Timur, khususnya negara kita amat harmoni dengan bermacam ragam agama dan budaya. Kita, pengarang sastera selepas 50 tahun merdeka mesti menguasai semula budaya tradisi kerana dari situlah landasan kita untuk bertitik tolak dengan inovasi. Kita, tidak kira Melayu, Tionghua, India, Kadazan, Dusun, Dayak atau Iban mesti mengambil tradisi spiritualitas dari agama-agama besar kita.

Sebagai pengarang Melayu-Islam saya menggunakan metod al-Quran dalam menyampaikan mazhab makna. Al-Quran telah menunjukkan betapa yang penting dari penyampaian satu-satu kisah itu adalah matlamatnya dan ia haruslah untuk memberikan pengajaran yang baik, peringatan kepada yang lupa, di samping paling utama dakwah kepada Allah. Untuk betul-betul merdeka kita harus berhati-hati dengan pendekatan sastera ala Barat yang semata-mata bentuk, iaitu cerita dan hiburan. Kita akan berdepan dengan cabaran untuk menguasai makna setelah 50 tahun menguasai bentuk.

Ini cabaran saya. Cabaran saudara-saudara juga.

sumber: http://tehranifaisal.blogspot.com/

p/s: dia ni selalu jadi pembantu aku dalam berfikir logik apa nya tindakan aku sekarang.

No comments: