Wednesday 25 July 2007

pizza apa yang kamu suka?

ibumu membawamu ke penjara.

pernahkah kamu, pergi melawat penjara pudu? melihat bekas-bekas penjenayah secara upclose; bersembang dengan mereka? kamu pernah tanya mereka makan apa hari ini? kamu pernah terfikir apa yang mereka nampak di luar tingkap? mungkin mereka pernah mengira berapa ekor burung yang melintasi tingkap mereka, yang kadang-kadang 'melepas' di situ. kamu rasa, mereka suka bila seekor burung merpati singgah di jeriji tingkap mereka dan 'meninggalkan jejak' di situ? kamu pernah tanya siapa yang paling mereka rindu? lagu apa yang mereka sering nyanyikan sebelum tidur? apa mereka buat tika kesejukan di malam hari?

kemudian kamu tinggalkan mereka dengan nasihat yang baik-baik. apa yang kamu rasa? seterusnya ibumu mengajak kamu pulang, memimpin tangan kamu dengan erat. kamu dapat rasakan hangatnya tangan ibu kamu itu, yang kalau boleh kamu tak mahu lepaskan. penjara yang sunyi, tiada teman berbicara, dindingnya besi dan batu berwarna kelabu atau hitam- kalau boleh kamu tak mahu berada di situ. walaupun kali ini kamu sekadar melawat, tapi kegerunan itu masih terbayang-bayang selagi kamu jaga. macam perasaan kamu selepas melihat cerita seram, atau mencium dahi bapa kamu untuk kali terakhir sebelum melihat jenazahnya diangkat masuk ke liang lahad. atau apabila kamu terlibat dalam kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawa kamu. perasaan-perasaan ini membuat kamu diam dan hilang mood untuk segalanya.

ibu kamu memimpin kamu pulang ke rumah. dalam perjalanan pulang, ibu membawa kamu makan di pizza hut sambil senyum manis pada kamu. memegang tangan kamu dan mengelus-elusnya lembut. kamu duduk di sebelah ibu; dagu kamu disandarkan pada bahu ibu. sesekali kamu dapat rasakan degupan jantung ibu. mood kamu bertambah sedikit baik, apabila kamu menyedari yang kamu dan ibu kamu masih hidup. kamu mula melihat orang-orang di sekeliling dan bertanya dalam hati, "pernahkah mereka ke penjara?" namun mereka semua tak mempedulikan kamu. mereka sibuk dengan urusan masing-masing dan makanan yang mereka tempah. hanya ibumu yang tahu, ketakutan kamu masih belum hilang sepenuhnya akibat singgah melawat di penjara tadi. bila hidangan sampai, kamu gagahkan diri untuk makan saat ibu menyuapkan. ibu kamu memang selalunya diam sahaja, tapi kamu tahu dia faham apa yang kamu rasa. selepas makan kamu semakin ok. kamu mula senyum kepada ibu dan langkah-langkah kaki kamu tak terketar-ketar lagi. badan kamu mula terasa panas akibat sup cendawan yang habis kamu hirup tadi. kamu memang selalunya suka dengan sup cendawan.

setapak keluar dari restoran, kamu melihat awan yang terbentang luas, warna biru kesukaan kamu dicalit dengan tompok-tompok kapas putih. terasa angin menghembus muka kamu dengan segala kedinginan, pesan-pesanan dan lagunya. kamu terdengar dedaunan bergeseran dan luruh, terbang hingga ada yang mencapai kasut kamu, meliuk-liuk dibawa angin. kamu nampak kereta, bas dan LRT laju meluncur atas landasan masing-masing. kamu rasa hidup; dan kamu rasa ada sesuatu yang kamu perlu lakukan. sekejap lagi waktu malam akan menjelma, kamu harus pulang ke rumah bersolat maghrib diimamkan ibu.

tiba-tiba kamu teringat akan seorang pakcik yang tak akan melihat sawah padi lagi di kampungnya selepas dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. langkah kamu terhenti dan titis air mata kamu hampir menyapa dunia.

"jom sayang..." mesra ibu kamu sambil menarik tangan kamu perlahan-lahan dengan senyuman hangat tersusun di wajahnya. dia menggenggam erat tangan kamu, dan bila kamu rasa cukup selamat, kamu eratkan pautan dengan tangannya dan kamu berdua berjalan seiringan, melangkah ke hadapan. kamu menyeka air mata yang hampir menitis dan kamu senyum, sebab kamu tahu kamu akan balik ke rumah; tempat yang bagi kamu sangat menyenangkan kamu, sangat selesa dan sangat selamat. tempat yang penuh harapan dan cinta, buat kamu dan orang-orang kesayanganmu.

dan selagi boleh kamu tak mahu mengingati pakcik itu lagi. namun kamu sempat berdoa moga-moga dia segera ke syurga.

No comments: