Friday 9 November 2007

2 berita gembira hari ini ;-)

1.

Angkasawan negara ditauliah sebagai 'Cosmonaut'
09-11-2007 10:12:52 AM
KUALA LUMPUR: Angkasawan Negara Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Mejar Dr Faiz Khaleed hari ini ditauliahkan sebagai "Cosmonaut" oleh kerajaan Russia.

Pentauliahan itu dilakukan oleh Pengerusi Agensi Angkasa Persekutuan Rusia Anatoly Perminov dalam satu majlis di Star City, Rusia pada pukul 4 petang (8 malam waktu Malaysia).

Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi Datuk Abdul Hanan Alang Endut dan Pengarah Program Angkasawan Negara Kolonel Dr Zulkeffeli Mat Jusoh hadir pada majlis itu.

Dr Zulkeffeli ketika dihubungi Bernama malam ini berkata pihak Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA) turut mengiktiraf Dr Muszaphar dan Dr Faiz sebagai angkasawan.

"Dalam ucapan meraikan pentauliahan keduadua angkasawan negara, wakil dari NASA itu turut mengiktiraf kedua-dua mereka sebagai angkasawan," katanya.

Pda 10 Okt lepas, Dr Sheikh Muszaphar bersama jurutera peberbangan Yuri Malenchenko dari Rusia dan komander Peggy Wilson dari Amerika Syarikat menaiki pesawat Soyuz TMA11 ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan kembali ke bumi pada 21 Okt. BERNAMA

2.

Pemuda Umno mahu kerajaan rombak sistem subsidi
08-11-2007 04:19:33 PM
KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno mahu kerajaan merombak semula sistem pemberian subsidi supaya ia lebih adil dan sampai kepada golongan sasaran.

Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata pemberian subsidi yang meliputi komoditi seperti petrol, gas, pertanian (baja), air dan elektrik pada ketika ini adalah tidak adil dan tidak sampai kepada golongan yang memerlukan, malah menggalakkan pembaziran.

Sambil memberi contoh bagaimana "tauke" yang menaiki kereta Mercedes tetapi membayar harga petrol RM1.92 seliter (selepas subsidi), harga yang sama yang perlu dibayar seorang pak cik yang menunggang motosikal "kapcai".

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ekonomi dan pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Khairy juga menyifatkan subsidi yang diperuntukkan kerajaan sebanyak RM35 bilion pada tahun ini sebagai "projek mega kerajaan paling besar", mewakili 25 peratus daripada hasil negara.

"Dengan subsidi RM35 bilion setahun itu, kita boleh bina dua Putrajaya, sembilan jambatan Pulau Pinang baru dan 500,000 rumah kos rendah untuk rakyat," katanya yang menegaskan bahawa kerajaan akan menanggung beban sekiranya sistem subsidi sekarang tidak dikaji.

Mengenai kenaikan harga minyak dunia yang kini melebihi AS$90 setong, Naib Ketua Pemuda itu berkata, kerajaan mungkin tidak mampu lagi menanggung subsidi komoditi itu pada tahun depan dan terpaksa menaikkan harga petrol.

"Pemuda minta kalau naik (harga petrol pada tahun depan) bagi notis awal," kata beliau.
Khairy juga menegur syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia Agrifood Corporation Berhad (MAFC) yang ditubuhkan dengan dana RM500 juta dua tahun lepas tetapi gagal meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam rantaian bekalan sektor pertanian.

Selain itu, Pemuda juga kesal kerana terdapat syarikat tertentu yang melabur di luar negara dan menggugurkan penyenaraian mereka daripada Bursa Malaysia ketika kerajaan rancak melaksanakan projek pembangunan wilayah untuk menjana ekonomi negara.

"Kita tak halang syarikat kita kembang sayap di luar negara... masuki pasaran antarabangsa, tapi jaguh-jaguh nasional ini juga perlu pikul tangggungjawab majukan koridor pembangunan," katanya. BERNAMA

sumber: mstar online

No comments: