Sunday 11 November 2007

Takrifan ahl al'halli wa al-'aqdi menurut ulama

Sumber: Berita Harian Online
Ahad, 11 November 2007, 1 Zulkaedah 1428H
Oleh Abdurrahman Haqqi

Pemilihan pemimpin mesti secara musyawarah, berasaskan kebijaksanaan kendali urusan agama dan dunia

AHL AL-HALLI WA AL'AQDI adalah satu istilah perbendaharaan kata bidang politik dalam kajian fikah Islam yang jarang disentuh perbahasannya. Yang banyak kajiannya dalam fikah Islam adalah istilah khalifah dan khilafah, imam dan imamah, amir dan imarah, ra'i (pemimpin) dan ra'iyyah (rakyat). Satu lagi istilah yang senasib dengan ahl al'halli wa al-’aqdi ialah bai'ah (janji taat setia).

Oleh kerana kurang kajian mengenainya, maka sebagai contoh, dalam Kamus Dewan pun kita tidak mendapat maklumatnya. Yang kita temui ialah "ahli II, ahlil, ahlu, ahlul kaum; ... bait; ... kitab; ... kubur; ... nujum; ... suluk; dan ... sunnah (waljamaah)."

Ini berlainan dengan perkataan khalifah, khilafah, imam, amir dan ra'iyyah (raiat) yang dengan mudah kita temui maklumatnya kerana ia sudah menjadi kata-kata yang digunakan sehari-hari. Perwakilan dalam tulisan ini adalah seperti yang ditakrifkan Kamus Dewan dalam maklumat 'perwakilan' nombor 3 yakni "wakil, majlis wakil-wakil, tempat wakil-wakil: dewan (majlis) perwakilan rakyat," termasuk di dalamnya perwakilan parti politik yang menghadiri mana-mana mesyuarat agungnya.

Dalam sejarah pemerintahan Islam klasik sejak zaman Nabi Muhammad SAW hingga jatuhnya Khilafah Uthmaniyyah, kita tidak memerhatikan dengan saksama dan teliti peranan ahl al'halli wa al-'aqdi dalam perjalanan roda pemerintahan masing-masing. Dalam pemerintahan Islam moden dan pascamoden kita tidak menyedari peranan ahl al'halli wa al-'aqdi dalam perjalanan roda pemerintahannya.

Kerajaan Islam dengan pelbagai sistem pemerintahannya boleh kita lihat dalam sketsa sejarah berikut: pemerintahan Nabi di Madinah (1-10 Hijrah); pemerintahan Khulafa Rashidin (11-39 Hijrah) di Madinah dan Kufah dengan empat orang khalifah; pemerintahan Khilafah Umayyah (40-132 H/661-750M) di Damsyik dengan 14 orang khalifah dan pemerintahan Khilafah Umayyah di Sepanyol (750-1492M) dengan 57 orang khalifah; pemerintahan Khilafah Abbasiyyah (132-656H/750-1258M) di Baghdad dengan 37 orang khalifah; pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah (1299-1922M) di Istanbul dengan 37 orang khalifah. (TP Hughes, Dictionary of Islam, 266-9)

Dari segi bahasa, ahl al'halli wa al-'aqdi mempunyai pengertian 'orang yang mempunyai kuasa untuk melonggarkan dan mengikat.' Menurut Dr Al-Rayis, istilah ini dirumuskan ulama fikah untuk panggilan bagi orang yang bertindak sebagai wakil umat untuk menyuarakan hati nurani mereka. Tugasnya antara lain memilih khalifah, imam, ketua negara secara langsung. Oleh itu, ahl al'halli wa al-'aqdi juga disebut oleh al-Mawardi sebagai ahl al-ikhtiyar (golongan yang berhak memilih).

Paradigma pemikiran ulama fikah merumuskan istilah ahl al'halli wa al-'aqdi didasarkan pada sistem pemilihan empat khalifah pertama yang dilaksanakan oleh tokoh sahabat yang mewakili dua golongan, Ansar dan Muhajirin. Mereka ini oleh ulama fikah dianggap sebagai ahl al’halli wa al-'aqdi yang bertindak sebagai wakil umat.

Walaupun sesungguhnya pemilihan itu, khususnya pemilihan Abu Bakar dan Ali bersifat spontan atas dasar tanggungjawab umum terhadap kelangsungan perpaduan umat dan agama. Namun, kedua-dua tokoh itu mendapat pengakuan umat. Dalam hubungan ini adalah tepat definisi yang dikemukakan Dr Abdul Karim Zaidan. "Ahl al'halli wa al-'aqdi ialah orang yang berkecimpung secara langsung dengan rakyat yang memberikan kepercayaan kepada mereka. Mereka menyetujui pendapat wakil itu kerana ikhlas, konsekuen, takwa, adil dan kecemerlangan fikiran serta kegigihan mereka dalam memperjuangkan kepentingan rakyatnya." (Rujuk JS Pulungan, Fiqh Siyasah…, 66-67)

Berdasarkan daripada huraian di atas dapat disimpulkan ahl al'halli wa al-'aqdi adalah suatu institusi pemilih. Ahli-ahlinya berkedudukan sebagai wakil rakyat, dan satu daripada tugasnya memilih khalifah atau pemimpin negara.

Bagaimanapun, kesimpulan di atas masih abstrak. Oleh itu, masih perlu kajian yang lebih konkrit (nyata) lagi mengenai kelompok masyarakat yang mana saja boleh dikategorikan sebagai ahl al'halli wa al-'aqdi. Apa syaratnya, bagaimana hubungannya dengan rakyat dan mekanisme apa digunakan untuk menjadi seorang ahl al’halli wa al-’aqdi.

Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj menyebut bahawa ahl al’halli wa al-'aqdi adalah ulama, ketua dan tokoh masyarakat sebagai unsur masyarakat yang berusaha mewujudkan kemaslahatan rakyat. Menurut Muhammad Abduh ulul amri dan ahl al’halli wa al-'aqdi adalah sama. Ketika mentafsirkan ayat 59 Surah al-Nisa beliau berkata: "Golongan ahl al'halli wa al-'aqdi daripada kalangan orang Muslim. Mereka itu adalah amir, hakim, ulama, pemimpin tentera, dan semua penguasa dan pemimpin yang dijadikan rujukan oleh umat dalam masalah keperluan dan kemaslahatan awam." (Dalam Tafsir al-Manar, 81)

Justeru, ahl al'halli wa al-'aqdi terdiri daripada pelbagai kelompok sosial yang memiliki kemahiran dan kepakaran yang berbeza sama ada kalangan pegawai kerajaan mahupun bukan yang biasa disebut sebagai pemimpin formal dan pemimpin informal.

Ahl al'halli wa al-'aqdi disyaratkan oleh al-Mawardi mesti berlaku adil dalam segala sikap dan tindakan, berilmu pengetahuan, memiliki wawasan, kearifan dan kebijaksanaan.

Walaupun hubungan ahl al'halli wa al-'aqdi dengan rakyat adalah hubungan perwakilan di mana mereka mewakili rakyat dalam melaksanakan haknya untuk memilih pemimpin negara, tetapi dalam kajian fikah tidak dibahas bagaimana perwakilan itu terjadi. Apakah mereka dipilih rakyat atau ditunjuk oleh khalifah?

Pada zaman nabi, ahl al'halli wa al-'aqdi adalah sahabat yang diserahkan tugas keamanan, pertahanan serta tugas-tugas lain yang berkaitan dengan kemaslahatan awam; tokoh sahabat yang sering diminta nasihatnya, mereka yang pertama memeluk Islam; mereka yang memiliki kecerdasan dan pandangan luas serta menunjukkan pengorbanan dan kesetiaan yang tinggi terhadap Islam; dan mereka yang berjaya dalam melaksanakan tugasnya sama ada daripada kaum Ansar mahupun Muhajirin.

Dalam kisah Ratu Balqis yang menyerahkan diri kepada Nabi Sulaiman AS kita mengetahui bagaimana ahl al'halli wa al-'aqdi mempunyai peranan penting dalam mempertahankan negara dan keutuhan rakyat. Al-Quran mengisahkan maksudnya: "Raja perempuan itu berkata: "Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya." Mereka menjawab: "Kita adalah orang yang kuat gagah, dan amat berani menghadapi peperangan; dan perkara itu (bagaimanapun) terserah kepadamu; oleh itu, fikirkan apa yang engkau hendak perintahkan.” (Surah al-Naml: 32-33)

Nabi Sulaiman kemudian merujuk ahl al'halli wa al-'aqdi ketika Baginda ingin membawa singgahsana Ratu Balqis. Al-Quran menyatakan maksudnya: "Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsana sebelum mereka datang menghadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam." (Surah al-Naml: 38)

Bahkan Allah SWT, Yang Maha Pencipta pun memberikan pengajaran kepada kita mengenai golongan ahl al'halli wa al-'aqdi ini di langit. Al-Quran menjelaskan maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (mengenai hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata: "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah: 30)

Dalam konteks pemerintahan Islam moden, institusi ahl al'halli wa al-'aqdi dengan pelbagai corak ragamnya sememangnya wujud dalam semua peringkat kepemimpinan dan organisasi demi melaksanakan prinsip musyawarah yang diperintahkan al-Quran dan dianjurkan Rasulullah SAW. Sistem ini berjalan dengan baik dan terbukti mewujudkan kestabilan dalam negara. Dalam hal ini Islam tidak menentukan metod atau cara tertentu bagi memilih pemimpin. Yang menjadi dasar ialah adanya unsur pemilihan dan musyawarah dan seorang pemimpin itu bukan saja perlu dipilih, tetapi juga dipertimbang dari segi kualiti dan kelayakan kepemimpinannya. Menurut ajaran Islam seorang pemimpin mempunyai dua fungsi utama iaitu bagi memelihara agama Islam dan mengurus dengan bijak urusan keduniaan.

Pada hakikatnya dalam sistem ahl al'halli wa al-'aqdi pemimpin dan perwakilan mempunyai persamaan, pemimpin adalah wakil dan wakil adalah pemimpin. Kehebatan pemimpin boleh dilihat daripada kehebatan kedua-duanya. Dengan kehebatan kedua-duanya maka akan hebat pula bangsa, negara dan umat.

Ada kisah menarik mengenai perkara ini yang berlaku pada zaman Saidina Ali Karramallahu wajhah. Ketika itu beliau dipersalahkan di atas keadaan huru-hara pada zaman pemerintahannya sehingga beliau dikritik sesetengah ahl al-halli wa al-'aqdi: "Mengapa pada zaman Khalifah Abu Bakar dan Umar tidak pernah ada kekacauan seperti ini?" Beliau membela diri: "Kerana pada masa itu yang menjadi pemimpin adalah Abu Bakar dan Umar, manakala yang menjadi umatnya adalah saya. Sedangkan sekarang menjadi kacau seperti ini, saya pemimpinnya dan umatnya seperti kamu. Maka, kita memperbetulkan kesilapan diri, umat atau pemimpinnya? Saya sudah berbuat begini, tetapi jangan-jangan umatnya tidak seperti dulu ketika saya menjadi umat. Kita harus memperbetulkan kesilapan diri." Wallahu a'lam.

No comments: