Sunday 24 February 2008

orang yang pernah direject doanya, adalah orang yang disayang

awan pagi ni warnanya macam kain sutera. kelabu yang bersinar, tapi sinarnya kelam macam mutiara. tak menyakitkan mata. angin yang bertiup sejuk amat, sampai hampir menggigil dan naik bulu roma. kadang-kadang sengaja mahu mengelak dari sejuk, aku sentuh papan lappie yang suam. 2-3 saat, kemudian lepas. kadang-kadang dalam masa sekejap itu, tapak tangan boleh berpeluh.

kemudian satu awan biru gelap yang besar, lalu di antara awan-awan mutiara tadi. bergerak perlahan melepasi awan mutiara. awan itu panjang, dengan bentuk tirus di bahagian hadapannya, macam kepala naga. kemudian aku juga nampak misai naga tu. walaupun ia bergerak perlahan, ia nampak perkasa. dan amat signifikan di mata aku.

ahh. awan memang selalunya cantik.

sesuatu yang aku cari dah lama. lagu yang selalu aku nyanyikan sejak aku kecik. aku baru jumpainya. ending song cerita fantaghiro. aku hafal tune-nya dan aku selalu nyanyi di celah-celah sunyi. atau ketika membasuh baju. atau ketika berjalan seorangan. atau ketika aku melipat baju. haha. siot jek.

dan mendengar lagu itu kali ini, dengan mengetahui lirik dan maksudnya.

sebenarnya tiada apa sangat yang berubah. sebab, perasaan itu tetap sama.

ketika aku seorang budak kecik melangkah separuh berlari ke sungai dengan tuala melitup kepala. menyanyi riang sambil membayangkan sejuk deras air sungai yang memang menyeronokkan. dan ketika hampir sampai kedengaran suara budak-budak lain yang sedang bergelak ketawa membuatkan aku juga gembira dan semakin tak sabar-sabar untuk sampai sungai.

dan ketika aku di kelas memilih buku-buku yang sesuai dengan pantas untuk ke makmal kimia. berjalan melintasi koridor panjang itu, dengan pencahayaan yang sedikit kurang. sedikit berpeluh akibat rushing, dalam pakaian sekolah menengah. berjalan pantas dengan ekspresi sifar yang selalu orang terjemahkan sebagai 'serius'. dan tanpa aku sedar ada orang memerhati dari jauh. orang yang berjaya menangkap senyum aku yang tak aku sengajakan.

kemudian waktu renyai di kolej, ketika aku berjalan perlahan-lahan dalam hujan, perlahan-lahan sampai aku seperti boleh mendengar bunyi tapak kasut aku menyerap air hujan di lantai konkrit depan pondok jaga apartmen kolej. dan kemudian aku toleh ke bawah melihat sepasang kaki yang sedang berjalan itu. setiap langkah ada ceritanya sendiri.

melepas nafas, aku memandang ke luar tingkap ini. dan membayangkan waktu-waktu itu bermain-main, menyusup dalam ketawa dan tangis lagu mio nemico ini. semuanya menyatu. menjadi satu perasaan. membentuk aku.

sebelum Kau menolak doa aku itu, pasti Kau sudah berjanji akan menjagaku, bukan? ahh...betul tu.

No comments: