Tuesday 26 May 2009

pembetulan

apabila sedar sesuatu di kalangan orang-orang sekeliling itu tidak betul, contohnya membuang sampah merata-rata atau mem-forwardkan mesej salah atau sembunyi-sembunyi mengata anak jiran, paling awal perlu tergerak ialah hati, untuk mengaku bahawa laku itu memang salah dan tak patutnya diteruskan. sebab kalau tidak, tak ada apa-apa pun telah berlaku dan hidup ini ialah utopia, dan itu adalah salah.

sebab kita semua tahu utopia atau kesempurnaan simplistik itu tidak wujud. jadi jika sesuatu nilai dalam masyarakat itu tidak betul, kita harus mengakuinya. jika tidak Tuhan tak reda dengan kita, walaupun kita solat dan puasa sebaik malaikat.

yang mengikuti kemudian ialah menjernihkannya sedikit-sedikit. yang ini amat bergantung pada banyak faktor, antaranya kemampuan diri, pengetahuan dan kesesuaian keadaan.

tapi akarnya, mula dengan yang sedikit. jika sudah sedar membuang sampah merata-rata itu salah, paling mudah ialah diri sendiri mengelakkan laku itu dan jika nampak sampah merata-rata, kutip dan buangkanlah ke dalam tong sampah tersedia jika keadaan mengizinkan (contohnya ada tong sampah berdekatan dan sampah bukanlah terlalu banyak sehingga menyusahkan diri sendiri mengutipnya).

jika kita orang yang lebih berkuasa, contohnya ibu bapa, maka secara automatik tanggungjawab menjadi lebih besar, termasuk mendidik anak-anak supaya tak membuang sampah merata-rata. kata kuncinya di sini, bila kita menjadi lebih mampu, kita harus mencuba dan melakukan lebih banyak dalam usaha pembaikian.

dan sudah pasti, krisis masyarakat bukan hanya sekadar membuang sampah merata-rata. di australia dan kebanyakan negara-negara maju, masalah ini sudah sangat lapuk. terbaik ialah peruntukkan waktu wajar untuk setiap masalah; yang kecil dilayan sebagai kecil dan yang besar dilayan sebagai lebih penting. contohnya, dalam politik perhatian terbesar harus diunjurkan pada kebajikan rakyat; itu paling utama. tambahan lagi sebagai muslim; pendidikan ke arah pemikiran dan adab hidup yang sihat paling penting sebab kita hidup untuk kedua-dua akhirat dan dunia.

digariskan sebagai kesimpulan: ilmu bantu kenal pasti baik buruk; mula dari yang sedikit dan sederhana; kemudian terus maju kepada masalah lebih berat dan penting, berkadar dengan kemampuan.

No comments: