Friday 30 October 2009

yang dekat, yang jauh, yang terlepas, yang tak dapat-dapat

'rais tak tau apa nama perasaan tu. tapi rais rasa sesuatu bila tengok cahaya mencelah-celah lantai kayu tingkat atas kat rumah opah. sama macam bila rais tengok gamba-gamba abah yang dah warna kuning time abah muda-muda. sama jugak bila rais pergi kawasan luar rumah opah belah banyak-banyak pasu kat tangga tu, tempat kita selalu main aci kejar.'

'uwm.' terdiam sekejap, bukan cuba memahamkan apa yang dia cakap tapi cuba memahamkan bagaimana budak 11 tahun boleh menjadi sangat terus-terang dengan perasaannya.

'bukan perasaan tenang?'

'bukan. tenang bila tengok air sungai mengalir, tu tenang. gembira pun bukan, sedih pun bukan. entah lah rais tak tahu apa perasaan tu.'

'ape ek perasaan tu? akak tak sure lah, tapi dalam bahasa jepun kalau tak silap diorang panggil natsukashii. dalam bahasa inggeris dipanggil reminiscing. sama jugak bila rais dah besar dan tengok balik buku-buku sekolah rais tahun lepas-lepas, atau bila kita pergi rumah batu gajah, kan?'

'aah.'

'teringat balik lah tu. terkenang. uwm, rais rasa perasaan tu bagus ke tak?'

'entahlah. rasanya bagus.'

'okay lah kalau macam tu..'

rais,
perasaan tu bagus..
membuatkan kita sentiasa sedar siapa diri kita, semua yang kita dah lalui, yang menjadikan siapa kita hari ini.
semua yang Allah letakkan dalam hidup kita dan bagaimana kita mencaturnya selepas itu, jalan mana yang kita pilih.
kemudian waktu berlalu dan beberapa perkara sudah berakhir atau bermula, tanpa kita sedar bagaimana ia mengubah kehidupan kita.
sampailah suatu masa kita tersentak bila terlihat sesuatu yang dulu sangat mesra dengan kita tetapi tidak semesra itu sekarang.
iya, manusia seperti kita memang pelupa, namun dengan kelupaan itu kadang-kadang kita mampu hidup.
cuma nanti, bila kamu besar
akan sampai suatu masa di mana kamu tak mampu pula untuk melupakan. orang-orang kesayangan kamu, hari-hari penting bagi kamu, peristiwa-peristiwa bermakna buat kamu.
sebab kamu sudah berjanji untuk hidup bersamanya sampai kamu menghembuskan nafas terakhir kamu.
maka dengan mengingat, kamu mampu hidup. walaupun kadang-kadang, kerana sangat menyayangi ia jadi menyakitkan kerana kamu tak mampu melupakannya, walau sesaat, walau sejauh mana kamu pergi.


aku bertinggung di tepi tasik selepas berjalan-jalan selama lebih kurang sejam sambil cuba mengajak itik bersembang tapi tak berjaya. jadi aku kaku di situ melihat air tasik, yang seperti lapis-lapis kaca yang panjang bergerak berselang seli ke atas dan ke bawah sambil memantulkan wajah pokok-pokok besar di hujung tasik. kecantikan yang membuatkan aku memandang hp dan mahu segera balik. lalu aku bangkit mengibas punggung dan bergerak pulang.

No comments: