Monday 26 November 2007

cikgu dan kepercayaan aku

sejak keluar sekolah dan ada akaun friendster, aku selalu lihat friendster juniors sekolah aku. sebab mana lah tahu, aku akan terjumpa dengan gambar-gambar cikgu. kadang-kadang aku tengok juga gambar-gambar cikgu dari sekolah lain yang aku tak pernah kenal. walaupun aku tahu mereka cikgu hanya berdasarkan nametag atau captions gambar yang budak-budak tu letak.

aku suka cikgu. aku suka lihat cikgu. aku suka bila cikgu masuk kelas. aku suka pandang wajah cikgu. tengok tulisan cikgu, lihat cara cikgu berjalan, bagaimana dia bercakap, gaya dia mengajar. bahasanya, buku-buku yang dia baca.

apa-apa sahaja tentang cikgu. sebab, aku tahu mereka akan ajar aku sesuatu.

walaupun mereka bukan cikgu yang baik,
walaupun mereka pernah tengking herdik buat aku rasa malu,
walaupun mereka tampar aku depan kelas,
walaupun mereka suruh aku junjung buku sekeliling koridor,
walaupun mereka suruh lari keliling padang dengan aku berpakaian baju kurung berkasut putih di atas padang yang basah dan akhirnya aku perlu menyalin baju sekolah dan membasuh yang kotor itu walaupun hari itu baru hari isnin,
walaupun mereka tak pandai mengajar, hanya membaca dari buku dan menyuruh aku salin nota di papan hitam selama sejam kemudian tak ada apa yang diterangkannya tentang apa yang aku salin,
walaupun mereka selalu buat muka kerek dengan aku dan langsung tak senyum,

dan apa-apa sahaja. aku tetap sukakan cikgu.

sebab aku tahu, akhirnya, pada akhirnya, aku akan belajar sesuatu yang baik dari segala benda buruk yang dah berlaku itu.

aku tak punya apa-apa kuasa. aku tak punya bapa yang ada saluran terus ke jabatan pendidikan dan boleh memecat mana-mana cikgu yang dikatakan 'ekstrim' selepas mendengar cerita anaknya tentang guru itu di sekolah. aku juga tak punya superman atau ultraman untuk menghukum dan menyepak mana-mana cikgu yang aku tak suka.

apa yang aku boleh buat ialah, percaya. percaya yang semuanya akan ok. percaya yang walaupun perangai cikgu itu aku tak pernah suka selama 5 tahun aku di sekolah menengah, aku masih akan belajar banyak darinya. sebab cikgu itu kerjanya mengajar benda baik, tak kira bagaimana keadaan pengajarannya, pada akhirnya ajaran yang baik itulah yang akan kekal. itu yang aku percaya. dan kalau ada cikgu yang digelar 'garang' atau 'serius giler', aku akan cuba menangi hatinya. aku akan buat sampai dia senyum pada aku, sampai dia pandang dan iktiraf aku di hatinya. sebab aku percaya, dasar semua orang adalah baik. dasar cikgu, yang mengajar di sekolah, yang menghabiskan masa mudanya mendidik anak-anak di sekolah, adalah baik. tiada siapa yang 'begitu bodoh' (baca: sanggup) bermain dengan emosi, harga diri dan pegangan hidup membanting tulang mendidik manusia yang dia tak pernah kenal melainkan cikgu. jika mereka boleh mengajar orang lain menjadi pandai, maka kamu kira mereka bodoh pelajaran, dan sebab itu mereka jadi cikgu? tidak. mereka boleh pilih profesion lain yang tak perlu berkomunikasi dengan manusia yang bermacam perangai yang boleh menyakitkan hati. tapi tidak. mereka cikgu. cikgu.

dan dengan kepercayaan itu, aku sangat menyayangi mereka. sangat menyayangi sehingga jika Dia izinkan aku mahu melindungi mereka dan tak mahu apa-apa yang buruk menimpa mereka. tak mahu mereka susah disebabkan aku. tak mahu mereka sedih disebabkan aku. dan jika betul mereka silap, aku akan dengan lembut approach mereka dan beritahu apa yang aku rasa. dan dengan kepercayaan itu juga, aku yakin mereka akan berubah. dan dengan kepercayaan itu juga, walaupun mereka tak berubah, itu bukan sebab untuk aku tinggalkan mereka dan kutuk mereka di belakang. sebab mereka cikgu aku, orang-orang kesayangan aku. yang dah mengajar aku, sama ada secara langsung ataupun tak langsung. bukan setakat mengajar aku addmath dan fizik, malah mengajar aku erti hidup. bagaimana menjadi manusia. dan dengan kepercayaan itu, aku tak pandai berburuk sangka terhadap mereka. tak pandai, dan tak mahu.

selebihnya, biar Tuhan yang uruskan.

namun realitinya sangat berbeza. sesetengah murid-murid sekarang, tak pandai memaafkan cikgu. tak pandai bertoleransi dengan cikgu. tak pandai berkasih sayang dengan cikgu. tak pandai berlawak jenaka dengan cikgu. mereka anggap cikgu itu seperti suatu autoriti yang mengancam kewujudan mereka. sedihnya, mereka langsung tak mahu faham bahawa cikgu juga adalah manusia biasa seperti mereka.

dan yang lebih dan paling menyedihkan, ibu bapa mereka juga berperangai sedemikian. padahal ibu bapa mereka sudah mengenal hidup berpuluh tahun lebih lama dari anak mereka.

aku bukan tak pernah dengar tentang cerita cikgu jahat. tapi aku menulis tentang cikgu secara am. persepsi masyarakat sekarang tentang cikgu. professionalism cikgu sekarang di ambang kehinaan. sesuatu yang tak patut dan tak patut berlaku.

dan buat masa sekarang, aku masih atasi rembang masalah ini dengan kepercayaan. dan dengan kepercayaan itu, aku menulis, yang.

aku tak setuju dengan tindakan kasar pihak-pihak tertentu terhadap cikgu. tak mahu turun padang berbincang dengan cikgu, tapi terus menggunakan kuasa dan autoriti mereka menyenarai hitam cikgu-cikgu yang 'tidak mengikut selera' mereka.

aku tak setuju dengan tindakan murid yang mengutuk cikgu. walaupun sedikit. walaupun sepatah perkataan dengan niat buruk. aku caci dan hinakan mereka sehingga mereka sedar kesilapan mereka.

aku sayangkan semua cikgu aku. sampai aku mati. terima kasih, cikgu.

tulisan,
pelajar pmr terbaik 2003, pelajar spm terbaik 2005 & tokoh pelajar 2005, sekolah menengah sains teluk intan. *nota: aku dah buktikan yang kepercayaan aku selama ini, tak salah.

No comments: