Monday 2 June 2008

bagasi

jarak ini telah menjadikan aku seorang manusia perisau, perindu dan pesangka. yang membuatkan aku melalui detik-detik yang buahnya pelbagai rasa. yang dengan ketajaman waktu itu membuatkan aku belajar sungguh-sungguh darinya.

Tuhan.

entah bagaimana buat seketika aku membayangkan betapa kehidupan manusia ini seperti pengangkat bagasi semata, yang akan menaiki kapal terbang. ahh, homesick agaknya.

dan imaginasi itu buat aku sedar, setiap orang punya saiz badan lain-lain, ada kemampuan masing-masing; budak kecil takkan mampu angkat bagasi sebesar basikalnya dan orang tua takkan dapat menahan memegang bagasinya untuk jangka waktu yang lama. dan bergantung juga; jika seorang kaya punya troli sendiri maka kerja mengangkat bagasinya akan jadi lebih mudah, dan mungkin juga dia boleh mengangkat lebih banyak bagasi jika dia punya kapal terbangnya sendiri. dan juga, bagasi yang punya nilai yang tinggi perlukan keselamatan yang lebih ketat dan pembawa bagasi yang lebih profesional.

dan bagasi itulah yang semua orang angkat dan pegang, sekejap mungkin, sekuat yang boleh, jangan lepas, jangan hilang. sehinggakan, mungkin, ada yang sakit belakang, ada yang berpijar tangan dan ada yang lenguh-lenguh kakinya.

namun, iya, semua orang ada cerita bagasi mereka. ikut kemampuan masing-masing, setiapnya ada kurang dan lebihnya. yang penting, setiapnya unik.

bagasi itu sendiri ada ceritanya. beratnya, rupanya, warnanya, materialnya. seorang raja mungkin punya bagasi dari emas. sebuah bagasi seorang remaja trendy mungkin lutsinar, seorang pengawal syarikat sekuriti mungkin membawa bagasi hitam.

namun paling penting, awal lagi sebelum itu- barang-barang di dalamnya. kenapa dia memilih bagasi itu dan barang-barang di dalamnya; kenapa itu yang mahu dibawa. juga susunannya, prioritinya, kekemasannya, balutannya.

dan kenapa mesti mahu membawa bagasi pun, padahal ianya tak pernah jadi nyawa.

Tuhan, Kau kata yang manusia memilih untuk membawa bagasi kerana dia rasa dia mampu, dan dia bongkak sebab itu. sedangkan gunung-ganang sendiri runtuh ketika ditanya sama ada mahu membawa bagasi atau tidak.

maka Tuhan, ketika aku memilih untuk membawa bagasi ini, adakah aku juga manusia itu? yang mahu membawa bagasi setinggi KLCC dengan hanya sebelah tangan, dan memegangnya sepanjang aku menunggu di lapangan terbang sehingga ia dimasukkan ke dalam kapal terbang.

buntu.

lihatlah Tuhan, tanpaMu aku takkan mampu berfikir pun. inikan lagi membawa bagasi. maka, selamatkanlah aku, selamatkanlah kami semua, doa-doa kami semua sampai dengan bagasi masing-masing yang wangi dan cantik, yang Kau sambut di ruang ketibaan dengan senyuman.

ameen.

p/s: ahnaf, selamat hari lahir ke-11, jangan makan banyak-banyak nanti gemuk. haha.

No comments: