Sunday 20 July 2008

ingatkan aku~

||rabu, 18081999||

hari itu agak terik. kelas yang sempit dan penuh itu terasa berbahang. peluh memercik membasahi baju sekolahnya. dia semakin berusaha memberikan tumpuan pada cikgu yang sedang mengajar di hadapan, sambil sekejap-sekejap matanya menoleh ke arah pintu kelas. terdengar gelak tawa kanak-kanak lain berkejaran di padang hijau sekolah yang kecil itu.

iya, pada masa itu dia hanyalah seorang budak kecil.

serentak dengan bunyi loceng, semua orang bangun dan mengemas beg masing-masing, sibuk membetulkan lipatan baju dan menyusun buku-buku serta memasukkan alat tulis ke dalam beg warna-warni. ada yang kecil, ada yang besar. ada yang baru dan ada yang lama. begnya masih setia berkhidmat dengannya, tanpa koyak atau menjadi terlalu lusuh, tapi kasutnya perlu diganti.

'yes, nak suruh abah beli kasut baru hari ni,' hatinya berdetik. lama sudah dia mengidam kasut baru.

selepas semua murid memberi ucap terima kasih pada cikgu, dia separuh berlari menuju pondok di hujung padang, tempat biasa dia menunggu abah. semakin hampir dengan pondok, langkahnya semakin perlahan.

'pelik, motor abah ada, tapi abah kat mana?' bisiknya dalam hati, sambil matanya melilau mencari di mana abah. dia meletakkan begnya ke dalam poket hadapan motor dengan hati-hati, takut motor terjatuh dan takut dia tersilap motor.

'eh, tapi betullah ini memang motor abah,' hatinya mengesyorkan. tapi bayang abah pun masih tak dapat dilihatnya. dia mula mencari di sekeliling pondok.

'huarghh!!' tiba-tiba ada orang menyapanya dari belakang pokok.

'abah! ishh..buat qilah terkejut je..abah menyorok ek..' dia separuh menjerit sambil memukul manja tangan abah. abah gelak sakan.

'penakut anak aku yang sulung ni,' hatinya mungkin berbisik macam tu. abah naik motor dan memakai topi keledar kegemarannya. kemudian dihulurnya topi keledar hitam yang satu lagi kepada anak perempuannya. topi keledar hitam itu nampak besar tapi sebenarnya muat-muat saja untuk kanak-kanak itu.

'abah, bila abah nak beli kasut hitam qilah? kasut qilah dah kecik lah..' katanya sambil menguis-nguis kaki ke tanah, sengaja menunjukkan rasa tidak selesa dengan kasut yang sedang dipakainya.

abah memandangnya sekejap. 'iyelah, jom jom abah bawak pegi kedai,' abah membalas. budak kecil itu melonjak.

'yeayy..!' dan selepas mengancing topi keledar, anak itu naik di belakang sambil memeluk pinggang abahnya. sekejap-sekejap dia menekup mukanya di belakang badan abah sambil senyum. badan abah sangat berpeluh, tapi abah tetap wangi. abah suka mandi lama-lama, kalau dia mandi memang sangat bersih. dia suka bau badan abah yang segar tu. abah sentiasa harum walaupun tak pakai apa-apa pewangi kecuali sabun mandi Lux kegemarannya. dan mama selalu tak bagi abah mandikan anak-anak sebab kalau abah mandikan, abah akan mandikan anak-anaknya sampai jari-jari anaknya kecut dan badan mereka menggigil sebab mandi lama sangat. kesan sikap abah yang sangat mahukan kebersihan.

angin sedikit-sedikit menghilangkan peluh abah yang melencunkan bajunya, tapi terik mentari semacam tak mahu memberi peluang. tambahan lagi bila sampai ke kedai kasut cina yang mereka selalu pergi itu, yang kecil dan sempit. tapi anak itu sukakannya, sebab ada banyak benda dalam kedai itu.

'yang ini macam mana? suka tak, aqilah?' abah membelek-belek kasut hitam itu sambil memasukkan kaki anaknya ke dalamnya. seakan puteri. anak itu diam sambil matanya meneliti pilihan kasut-kasut hitam di rak kedai. lepas itu matanya tertumpu pada kasut yang sedang dicubanya.

'emm..ok jugak,' balasnya pendek. selepas mencuba dua tiga pasang, anak itu membuat pilihan. teringatkan kipas mengkuangnya yang semakin layu dan sudah koyak-koyak di rumah, abah mengambil kipas mengkuang baru dan membayarnya sekali. kasut itu diberinya pada anaknya.

'nah..jaga baik-baik..lepas ni abah tak beli dah kasut untuk aqilah,' abah berkata dengan nada bersahaja. anaknya berasa pelik.

'kenapa pulak..tahun depan kena lah beli kasut baru lagi..takkan nak pakai kasut yang sama..' anak naif itu merungut. abah senyum kelat.

namun hari itu anak sulungnya memang amat gembira sebab dapat kasut baru.

||jumaat, 20081999||

mama keluar ke perpustakaan untuk mencari bahan rujukan kerja abah. anak sulung itu sendiri tak faham kenapa seorang inspektor polis masih perlu membaca buku.

bila mama balik, rumah bersepah dan anak-anak kecilnya tak terurus.

'aqilah, kamu buat apa kat rumah? tengoklah adik-adik ni...!' mama separuh menjerit sambil melihat rumah yang bersepah. memang pantang mamanya melihat rumah bersepah walaupun anak-anaknya yang seramai lapan orang itu terkenal dengan perangai yang macam-macam. anak sulung itu runsing sambil merampus mengemas rumah.

'nak tengok tv pun tak boleh laa..!' bentaknya, entah pada siapa. dia bingkas sambil marah-marah dan mula mengemas apa yang patut. mama juga turut mengemas.

tiba-tiba ada orang mengetuk pintu rumah. dua tiga kawan abah muncul di hadapan pintu. mama menyambut mereka.

'puan, tuan amir ada masalah kesihatan..di hospital..puan mahu tumpang..kami boleh hantarkan puan..agak serius..' itu adalah bibit-bibit yang dapat didengar anak itu. entah kenapa tangannya menggigil dan peluh sejuk mula membasahi tengkuknya. ada sesuatu yang tak kena. muka mama juga sudah berubah.

'tak apa saya boleh 'drive' ke sana sendiri,' mama memberitahu. mama bersiap sekejap kemudian mencapai kunci kereta.

'aqilah, kemas rumah. sapu dalam bilik semua. kemudian siapkan adik-adik, tukar baju semua. tunggu orang datang ambil,' mama berkata sambil muka mama seperti orang hilang arah tetapi masih cuba mengekalkan warasnya. anak sulung itu mencari-cari senyum dan tenang yang semakin hilang dari wajah mamanya. kemudian mama bergegas pergi. anak itu menyambung menyapu sampah, dan kerana terlalu takut dia menangis. kemudian dia berdoa. suatu doa rahsia yang akhirnya tak diperkenankan Tuhannya.

entah kenapa tiba-tiba semuanya menjadi kelam-kabut; kawan-kawan abahnya datang ke rumah dan menunggu di depan rumah untuk mengambil mereka adik-beradik. mama sudah di hospital, jadi kawan-kawan abah mahu membawa mereka pula ke hospital. tapi kenapa?

'dik..pakaikan baju adik-adik nak, makcik nak bawak kamu semua ke hospital,' seorang kawan abahnya mendekatinya. dia tercari-cari penjelasan. nak bertanya dia takut. tapi untuk apa semua ini? siapkan adik-adik, kami semua? bawak ke hospital? kenapa? kenapa?!

dia mencapai baju yang sesuai dari bakul pakaian kemudian mula memakaikan baju pada adik-adiknya. adik-adiknya yang kecil itu merungut dan buat perangai; mereka tak mahu pakai baju dan membuatkannya meradang.

'cepatlah pakai baju..!' tangannya yang menggigil itu hampir terlepas baju adik-adiknya, dan adik-adiknya hampir menangis.

'dik..jangan marah adik-adik tu..' makcik polis tadi bersuara. dia semakin hilang arah; ada sesuatu memberitahunya perkara yang sangat buruk akan terjadi, dan tak ada apa yang boleh dia lakukan untuk menghalangnya.

akhirnya mereka semua dibawa polis-polis itu ke hospital. entah bagaimana mahu dijelaskan perasaan anak itu. yang pastinya, dia takut teramat sangat.

sesampainya di hospital, ramai orang sudah berkerumun. kebanyakannya polis, tetapi ramai juga yang tidak dikenalinya. beberapa makcik menangis sejurus melihat mereka adik-beradik keluar dari perut kereta. ramai juga yang tunduk menatap lantai lama-lama, seperti cuba menahan sebak masing-masing. anak sulung itu semakin keliru, kenapa ni..??

sambil mencari-cari kelibat mama. pada mama lah mahu diajukan semua soalan. mama mesti punya jawapan untuk setiap kegelisahannya, mama mesti tahu bagaimana untuk menenangkan ketakutannya. mama mesti tahu bagaimana memeluknya supaya dia tak menangis.

polis-polis itu membawa mereka ke bahagian kecemasan. di situ dia nampak mama yang sedang menangis, sambil memegang dan memeluk adik-adik kecilnya. dan serentak dengan itu, dia ternampak sekujur tubuh yang kaku di atas meja bedah hospital. tubuh yang dikenalinya. yang selalu dipeluknya. yang selalu berpeluh untuknya. yang pernah mengangkatnya seperti puteri ke dalam bilik ketika dia tertidur di luar. yang mengambilnya dari sekolah. yang membawanya makan ke luar. tubuh itu sudah diam sekarang. tak mahu bangun-bangun lagi.

'abah dah tak ada, sayang..' suara mama tersekat-sekat. serentak itu dia hilang.

'tipu..! mama tipu..! semua tipu..!!' dia memberontak. beberapa orang cuba memegangnya. ada yang menyuruhnya sabar, ada yang semakin kuat menangis apabila melihatnya sedemikian. mama hanya terus menangis sambil memegang anak-anaknya. tak ada kata yang keluar dari mulut mama. anak sulung itu mula tenang sebentar, mungkin kerana malu dengan tindakannya.

namun selepas dia sedar semula yang abahnya sudah tiada, dia kembali memberontak dan menjerit tidak percaya, sehinggalah mama datang memeluknya. matanya sudah merah dan badannya menggigil. hidupnya dirasakan sudah musnah.

'pergi dengan adik-adik bacakan surah fatihah untuk abah sayang..' mama memimpin mereka ke sebelah mayat abah dan mereka sama-sama membacakan alfatihah untuk abah. syahdu seketika, semua orang diam memerhati. mama meminta doktor untuk tak menjalankan 'post mortem' dan doktor bersetuju untuk hanya menulis 'cardiac arrest' sebagai sebab kematian. mulut anak-anak kecil itu membacakan alfatihah dengan suara perlahan dengan tersedu-sedu. lapan beradik itu sudah menjadi yatim.

pihak polis memberitahu mayat arwah akan dibawa ke balai dan orang akan berkumpul di sana mengutip derma dan membaca yasin sementara kenderaan disediakan untuk membawa mayat dengan secepat mungkin ke kampung. orang kampung juga sudah diberitahu.

mayat abah ditutup dengan kain batik lepas dan diletakkan di tengah-tengah bilik, sambil kedengaran bacaan yasin memenuhi ruang bilik. adik-beradik itu duduk sebelah menyebelah, membaca yasin perlahan-lahan sambil sekejap-sekejap menoleh dengan berlinangan air mata ke arah mayat abah mereka di tengah bilik, dengan pandangan yang amat mengharapkan abah akan bangun dan memeluk mereka. dengan pandangan supaya seseorang memberitahu mereka semuanya hanya mimpi buruk, dengan pandangan supaya seseorang memberitahu mereka semuanya akan oke.

dan dengan pandangan yang telah akhirnya dikecewakan. mama sendiri diam tanpa sebarang kata, termangu. mungkin mama juga hilang.

adik mama datang tak lama kemudian, dan mereka bawakan nasi ayam untuk anak-anak kecil itu makan. betul juga; selepas abah pergi semua mereka seperti tak dipedulikan lagi. semua perhatian diberikan untuk menguruskan mayat. selepas dipujuk mama barulah mereka makan. selepas mandi dan bersiap, polis datang untuk membawa mereka ke kampung. mayat abah sudah pun dibawa ke sana.

perjalanan pulang ke kampung kali itu tak dipandu abah. tak ada gelak tawa, jenaka dan teka-teki dari abah. tak ada suara yang berkata 'kenapa kereta ni jalan lambat..aqilah, cepat suruh gajah tolak kereta ni, cepat..! hahaa..' tak ada bahu untuk diurut, tak ada angin luar yang berpusu-pusu mencium muka dengan mesra. semuanya diam dan sangat sejuk. sekejap-sekejap kedengaran kawan polis abah bercerita pada mama bagaimana abah menghembuskan nafasnya yang terakhir. tanpa seorang pun orang kesayangannya menyaksikan saat itu.

'syukur, kawan saya tu dah ajarkan arwah mengucap..' kata kawan abah yang bermisai itu, sambil mukanya sedikit-sedikit dapat dilihat oleh anak sulung itu bila disimbah lampu jalan. hari sudah lama malam, dan kegelapan itu tambah mendiamkan semua adik-beradik yatim yang hilang punca itu. perjalanan pulang ke kampung kali itu dirasakan tersangat lama.

ramai juga yang sudah menunggu mayat abah di kampung. adik beradik abah dan opah seperti orang separuh histeria apabila tahu abah sudah tiada, sambil menyalahkan mama dan mengatakan mama membunuh abah; yang mama tak pandai menjaga suami. anak sulung yang mudah baran itu menyorot tajam ke arah wajah-wajah mereka dengan marah yang dipendam. berhati-hati dengan setiap pergerakan, sensitif dengan setiap perubahan dan bersedia untuk melindungi mamanya bila diperlukan. mama hanya memegang anak bongsunya yang 11 bulan itu, bercakap sesedikit mungkin.

keluarga itu mula merasakan seperti mereka sudah dibuang. namun mereka lega selepas keluarga angkat mereka dan keluarga sebelah mama datang menjenguk, kerana akhirnya ada juga orang yang masih peduli. malam itu, anak sulung itu tak dapat melelapkan mata. sambil duduk di sebelah mayat abah dan seperlahan mungkin memegang tangan abah yang sejuk, dia memikirkan apa akan terjadi esok. bagaimana dengan sekolah. dapatkah mereka hidup tanpa abah? dia tak dapat membayangkan apa-apa yang baik lagi mungkin dan boleh berlaku. semuanya seperti neraka masa itu. sekejap-sekejap dia merasakan seperti tak mahu fikir atau peduli apa-apa lagi; dia hanya mahu bersama-sama abah selama mungkin.

||sabtu, 21081999||

dua adik-beradiknya yang lelaki membantu memandikan abah mereka. ramai yang datang menyembahyangkan abah, sehingga sesi solat jenazah dijalankan dua kali. ketika jenazah diarak ke kubur, hujan rintik-rintik membasahi bumi; terasa sayu apabila abah perlahan-lahan dibawa ke kubur sambil berkerumun orang mengikut untuk menghantar abah. mama dan adik-beradik itu dibawa ke kubur dengan kereta.

anak-anak kecil itu melihat sendiri bagaimana abah mereka dikafankan dan dikebumikan, mendengar sendiri suara tok imam perlahan-lahan mengkafankan abah dan mengatakan abah seorang yang baik kemudian membacakan tahlil di kuburan. terdetik di hati anak sulung itu yang benarlah, tiga hari lepas abah sudah membelikannya kasut baru dan hari ini abah sudah tiada. dan semuanya semakin jelas semasa wajah abah semakin hilang dari pandangan ditutup papan kayu dan disimbah tanah, kemudian seorang demi seorang menyiram air di atas kubur abah.

abah benar-benar sudah tiada.

||ahad, 20072008||

神様、私たちを守ってください。。ずっと助けてください。。光につれてください。。アミーン。。

5 comments:

Lexy Rollo said...

God,Please protect her and her family..Please help her.Ameen.

anamunawwarah said...

qila...kuatnya ingatan kamu untuk orang yg kamu sayang..semoga dalam sayang ALLAH selalu..

akira said...

naj & ana,
ameen. kamu juga. thanks :)

Anonymous said...

lama xmenjenguk blog,byk posting yg terlepas,mula membaca balik,sangat terharu dengan posting ini,moga terus tabah,terus matang,terus maju.. :)

akira said...

ameen.

sama utk kamu juga, yeopmi. lama xdengar kabare kamu! hehe. apa2 pun take care :)