Friday 12 December 2008

memoir seorang guru, azizi abdullah

Hujan masih belum berhenti. Tadi lepas aku dan aisyah selamat pulang ke rumah dari cyber café, hujan sepertinya sudah berhenti. Tak selebat sewaktu aku dan aisyah masih dalam perjalanan ke cyber café lewat tengahari tadi; sehingga habis lencun pakaian kami. Sesampainya di cyber café, aisyah berteduh sebentar di bawah bumbung hadapan kedai itu sambil memerah bajunya, manakala aku yang memboncengnya lebih bertuah; baju seluarku tidaklah sebasah mana. Bila kufikirkan semula, entah kegilaan apa agaknya yang membuatkan aku masih berdegil ingin ke cyber café, sehingga sanggup membiarkan adik perempuan aku berhujan sehingga kuyup sebegitu. Baru sekarang terasa menyesal adakah berguna agaknya..?

Namun soalan-soalan itu masih belum mahu hilang. Dan belum pula berjawapan. Sebelum ke cyber café aku rasa agak mual memikirkan bahawa aku mungkin akan hanya menyakitkan lagi diri sendiri merenung skrin komputer buat kesekiaan kalinya. Dan selepas pulang dari sana apa yang aku fikir akan berlaku telah berlaku. Seperti kembali ke titik satu aku merenung sebentar siling bilik, sambil mengeratkan lilitan selimut tika aku merasakan badan aku semakin panas seperti tanda orang sedang demam. Fikiran aku kalut dan buntu; terasa diri sekali lagi seperti didesak melakukan keputusan gila itu. Dan selepas beristighfar aku memanggil-manggil nama Tuhan dan meminta Dia menenangkanku.

Walaupun aku penat dan aku fikir bahawa aku akan mengantuk dan terus lelap sejurus selepas aku berselimut, tapinya tidak begitu. Sekejap-sekejap aku mengalihkan badan ke kanan dan ke kiri sebelum mataku terbeliak semula. Mencongak-congak betapa banyak lagi waktu yang aku ada untuk menunaikan solat asar sebelum masuknya maghrib. Fikiran aku beransur-ansur jernih semula, aku tutupkan kekalutan itu dengan kemaafan dan bergerak ke bilik air untuk mandi dan solat. Dengan langkahan sedikit lemah ke bilik air aku berdoa semoga Tuhan sentiasa bersama-sama aku.

Usai solat aku terdengar rancangan di radio apa entah, suara seorang ustaz mengulas ayat 90 surah albaqarah. Dia bercerita tentang bagaimana nabi sayang itu Allah pelihara dari setiap onar dan cubaan membunuhnya. Terdetik di hatiku, ‘ah..nabi sangat bertuah. Doa-doa Allah memelihara diriku juga.’

Di hadapanku kain penutup almari buku terselak dan terangkat di atas, melihatkan susunan buku-buku di rumahku. Bertimbun buku-buku yang hampir berhabuk; jarang disentuh ahli keluargaku yang bukanlah ulat buku tegar semuanya. Dari buku-buku rujukan sekolah PMR, SPM dan pengajian mama, ke fail-fail setiap ahli keluarga yang memuatkan sijil-sijil dan dokumen lain yang penting, sehinggalah ke buku-buku agama dan novel. Tiba-tiba aku terlihat sebuah buku bertajuk ‘Memoir Seorang Guru’ karya Azizi Abdullah.

Melalui mama aku mencintai penulis ini dan apa yang ditulisnya, getus hatiku. Tapi entah mengapa baru sekarang aku perasan di antara banyak-banyak novel yang tersusun di dalam almari itu bukunya setia menanti pembaca. Menanti aku.

Menyelak, mukasurat pertama terus memberitahu aku tentang tema novelnya tu- keberkatan. Terus aku merefleksi pada keadaan diriku. Segala kekayaan, kehormatan, kecantikan dan kepandaian diri aku ini, adakah berkat? Adakah aku berkat pada orang-orang di sekelilingku, bila dengan kehadiranku mereka merasa senang hati dan sejuk lapang, cukup serba-serbi dan gembira?

Dari dasar hati aku hanya menginginkan yang sederhana. Selalu aku risau dengan kegembiraan yang tak pernah hilang, kekayaan yang melimpah-ruah dan tidur yang sentiasa lena. Sebab mati itu bila-bila, sedih itu tiba-tiba dan hancurnya semua sungguh mampu sekelip mata.

Mampukah kau janjikan padaku esok matahari pasti terbit?

Maka mari kepada yang mampu ;-)

2 comments:

Mesin Kata said...

salam qilah. seronok tak cuti? mandi hujan ya kamu.

moga yang baik-baik untuk kamu.

akira said...

ameen.

sonok gak mandi ujan. hehe. kamu pun sama, jaga diri baik2 yerk :)